LATEST
National

Mahkamah Rayuan naikkan hukuman guru amang seksual murid kepada 10 tahun, 2 sebatan

Mahkamah Rayuan naikkan hukuman guru amang seksual murid kepada 10 tahun, 2 sebatan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menaikkan hukuman penjara seorang guru bahasa Arab kepada 10 tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak muridnya berusia lapan tahun di sebuah sekolah rendah di Muar, tujuh tahun lalu.

Baca juga: Log Masuk Passkey: Lebih Selamat Daripada Password?

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang bersidang bersama Datuk Ahmad Shahir Mohd Salleh dan Datuk Dean Wayne Daly sebulat suara membenarkan rayuan silang pihak pendakwaan bagi meningkatkan hukuman terhadap Ahnaf Afiq Shairul Bazri, 35, selain menolak rayuan akhirnya untuk mengetepikan sabitan.

Dengan keputusan itu, hukuman penjara asal selama empat tahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) digandakan kepada lapan tahun, manakala hukuman penjara tambahan dua tahun di bawah Seksyen 16(1) akta sama dikekalkan.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman dua sebatan, selain memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh tahanan mengikut Seksyen 26 serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara berdasarkan Seksyen 27 akta berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan waran pemenjaraan dikeluarkan serta-merta bagi membolehkan tertuduh menjalani hukuman bermula hari ini, manakala wang jaminan dipulangkan kepada penjamin.

Ketika membacakan alasan ringkas penghakiman, Mohamed Zaini berkata hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Muar sebelum ini tidak memadai mengambil kira keseriusan jenayah berkenaan.

“Kami bersetuju bahawa kesalahan ini adalah serius. Mangsa baru berusia lapan tahun dan tertuduh menyalahgunakan kedudukan kepercayaan yang diberikan kepadanya sebagai guru yang diamanahkan dengan penjagaan serta pendidikan murid-murid. Ini adalah faktor-faktor pemberatan yang penting,” katanya.

Mengulas rayuan terhadap sabitan, Mohamed Zaini berkata panel hakim berpuas hati Mahkamah Tinggi mempunyai alasan wajar untuk campur tangan dan mengetepikan keputusan pelepasan serta pembebasan yang dibuat Mahkamah Sesyen Muar pada 19 Mac 2025.

“Keterangan mangsa (SP2) adalah jelas, terperinci dan disokong oleh pendedahan serta-merta yang dibuat kepada ibunya (SP1) pada hari kejadian.

“Kami tidak menganggap percanggahan berhubung kedudukan SP2 ketika saksi pendakwaan keempat (SP4) iaitu rakan sekolah mangsa memasuki bilik itu sebagai sesuatu yang cukup material untuk menjejaskan kebolehpercayaan keterangannya.

“Kami bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa keterangan itu boleh diselaraskan apabila dinilai secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata, panel turut menolak hujahan pembelaan berhubung kegagalan pendakwaan memanggil seorang lagi murid serta dakwaan kelemahan siasatan pegawai penyiasat (SP5).

Ini kerana seorang lagi saksi mata (SP3) memberi keterangan mengenai perkara yang dilihatnya melalui ruang pintu bilik, manakala empat murid lain yang dinamakan tertuduh didapati tidak mempunyai pengetahuan mengenai kejadian itu selepas ditemu bual polis.

“Tertuduh mengakui bahawa dia membawa mangsa ke dalam bilik itu dan menutup pintunya. Penjelasan yang diberikan oleh tertuduh sudah dipertimbangkan oleh Mahkamah Tinggi tetapi didapati tidak mencukupi untuk menimbulkan keraguan yang munasabah.

“Oleh itu, kami dapati bahawa sabitan adalah selamat dan rayuan terhadap sabitan ditolak,” katanya.

Mahkamah Tinggi Muar pada 11 Mac lalu menjatuhkan hukuman penjara empat tahun, dua tahun penjara tambahan dan dua sebatan terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Ahnaf Afiq didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun bagi maksud seksual di dalam bilik kerja perpustakaan sebuah sekolah rendah di Muar antara jam 10.20 pagi hingga 11.20 pagi 3 Oktober 2019.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news