PETALING JAYA: Pelumba muda Colombia, David Alonso dilaporkan menjalani ujian rahsia jentera MotoGP Honda di Litar Antarabangsa Sepang sebagai persediaan menghadapi penampilan sulungnya dalam kelas utama MotoGP musim depan.
Menurut laporan Crash.net yang memetik Motorsport.com, pelumba berusia 20 tahun itu kembali ke Sepang selepas Grand Prix Qatar untuk menyertai sesi ujian tertutup Honda berkenaan.
Baca juga: PABM mahu atlet angkat berat segera pindah ke Rompin
Alonso dikatakan menguji prototaip jentera 850cc menggunakan tayar Pirelli bersama dua pelumba ujian Honda Racing Corporation (HRC), Aleix Espargaro dan Takaaki Nakagami, sebelum menyertai LCR Honda.
Bagaimanapun, laporan berkenaan masih belum disahkan secara rasmi oleh Honda setakat ini, manakala Crash.net turut menyatakan penampilan Alonso dalam ujian itu berdasarkan maklumat yang dilaporkan Motorsport.com.
Pelumba Colombia itu bakal beraksi bersama pasukan LCR Honda pada musim 2027 dengan mengambil alih tempat Diogo Moreira yang dinaikkan pangkat ke pasukan pengeluar Honda.
Ujian itu juga bermakna rakan sepasukan Alonso di Aspar Moto2, Dani Holgado, mungkin menjadi satu-satunya pendatang baharu yang belum mencuba jentera MotoGP menjelang ujian rasmi Valencia.
Holgado dijadual menyertai Gresini Ducati musim depan, manakala juara Kejuaraan Superbike Dunia, Nicolo Bulega yang bakal bersama VR46 Ducati sudah menjalani beberapa ujian jentera 850cc.
Dua lagi pendatang baharu, Izan Guevara bersama Pramac Yamaha dan Senna Agius bersama Tech3 KTM, turut menjalani ujian tayar Pirelli selepas perlumbaan di Red Bull Ring pada September lalu.
Alonso kini menghuni tangga kelima kejuaraan dunia Moto2 dengan dua kemenangan perlumbaan, ketika saingan masih berbaki dua pusingan sebelum beliau menamatkan karier dalam kategori tersebut.
Selepas ujian rasmi di Valencia pada 1 Disember, pelumba baharu akan meneruskan sesi ujian di Sepang pada Januari dan Februari, sebelum ke Buriram, Thailand menjelang musim baharu pada Mac. – AGENSI
The post Alonso uji jentera Honda secara rahsia di Sepang? appeared first on Utusan Malaysia.