LATEST

BNM pantau risiko inflasi sebelum tentukan OPR pada 2027

BNM pantau risiko inflasi sebelum tentukan OPR pada 2027

bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau perkembangan inflasi dan pertumbuhan ekonomi sebelum menentukan hala tuju Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2027 sama ada terdapat kemungkinan kekal, turun atau sebaliknya.

Baca juga: Mahkamah Rayuan naikkan hukuman guru amang seksual murid kepada 10 tahun, 2 sebatan

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, keputusan berkaitan dasar monetari akan dibuat berdasarkan perkembangan data ekonomi semasa.

Katanya, ia bagi memastikan dasar yang dilaksanakan kekal konsisten dengan matlamat kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi mampan.

“Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan menilai pelbagai petunjuk ekonomi yang diterima sebelum membuat sebarang keputusan.

“Antara aspek utama yang diberi perhatian ialah keluasan tekanan inflasi, khususnya sejauh mana kenaikan harga berlaku merentasi pelbagai barangan dan perkhidmatan,” katanya pada sidang media prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Ketiga 2026 di sini, hari ini.

Mengulas kemungkinan kenaikan OPR pada 2027 susulan risiko peningkatan inflasi dan perkembangan ekonomi semasa, beliau berkata BNM turut meneliti tahap ketekalan kenaikan harga bagi memastikan tekanan inflasi bukan sekadar berlaku sekali atau dua kali, sebaliknya menunjukkan peningkatan secara berterusan dari bulan ke bulan.

Gabenor bank pusat itu berkata, penilaian itu penting bagi mengenal pasti sama ada tekanan harga semakin meluas dan berpanjangan sehingga memerlukan tindak balas dasar monetari.

“Jika keadaan itu berlaku dan disokong data yang diterima, kita akan mengambil tindakan secara tegas,” katanya.

Beliau berkata, BNM akan terus meneliti perkembangan ekonomi dan petunjuk inflasi sehingga mesyuarat MPC seterusnya serta mesyuarat akan datang.

Dalam perkembangan semasa, BNM melihat ekonomi negara kekal berdaya tahan, manakala inflasi menunjukkan peningkatan secara beransur-ansur.

Bagaimanapun, Abdul Rasheed berkata perkembangan itu perlu dinilai secara menyeluruh berdasarkan data yang diterima, khususnya bagi menentukan sama ada peningkatan harga bersifat meluas dan berterusan.

BNM mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus dalam keputusan dasar monetari terbaharu, dengan kadar berkenaan menjadi penanda aras penting dalam menentukan kos pinjaman dan keadaan pembiayaan dalam ekonomi domestik.

OPR mempengaruhi kadar faedah pinjaman serta pulangan simpanan, sekali gus memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah, keputusan pelaburan perniagaan dan aktiviti ekonomi negara.

Sehubungan itu, Abdul Rasheed berkata hala tuju OPR bagi 2027 masih bergantung kepada penilaian MPC terhadap imbangan risiko inflasi dan pertumbuhan ekonomi, bukannya berdasarkan satu petunjuk ekonomi secara bersendirian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news