Barisan Nasional (BN) berharap kemelut pentadbiran Negeri Sembilan, termasuk isu membabitkan jawatan Menteri Besar, dapat diselesaikan secara baik tanpa kenyataan lanjut yang boleh menimbulkan salah faham.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, semua pihak wajar memberi ruang kepada proses yang sedang berjalan. Beliau juga memilih untuk tidak mengulas lanjut bagi mengelakkan kenyataannya disalah tafsir.
Baca juga: Demi selamatkan nyawa, tangan kanan jaguh angkat berat negara terpaksa dipotong
“Saya fikir kita tidak perlu lagi merumitkan (keadaan). Biarlah proses berjalan dengan sebaik-baiknya. Saya tidak mahu membuat kenyataan yang nanti disalah anggap lagi. Biar kita serahkan melalui proses yang telah dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai perkembangan di Negeri Sembilan semasa menghadiri Festival Idea Putrajaya (FOI Putrajaya) 2026 pada Rabu.
Pada 16 November, Zambry dilaporkan memaklumkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim, meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Menurut Zambry, surat peletakan jawatan itu diutus kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerima salinan surat berkenaan pada hari yang sama.
Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos. Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi. Gabungan 25 kerusi itu membolehkan BN dan PN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Sumber: Sinar Harian(