PUTRAJAYA: Tiada laporan berkenaan ancaman serangan siber berskala besar sehingga mengakibatkan data rakyat Malaysia terjejas atau dicuri setakat ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, dakwaan membabitkan kebocoran data rakyat Malaysia yang tersebar menerusi beberapa laman sesawang ‘dark web’ masih belum dapat disahkan, termasuk kemungkinan ia membabitkan data lama.
Baca juga: BNM pantau risiko inflasi sebelum tentukan OPR pada 2027
“Setakat hari ini tidak ada apa-apa ancaman yang terlalu besar sehingga mengakibatkan data rakyat terkesan ataupun dicuri pada waktu ini.
“Ada beberapa pihak yang membuat dakwaan dalam beberapa laman ‘dark web’ yang mengatakan data rakyat Malaysia telah dicuri daripada sekian-sekian tempat, tapi tidak boleh disahkan. Kadang-kadang ia adalah data lama yang telah berlaku, tidak ada setakat ini insiden yang dilaporkan oleh pihak NACSA (Agensi Keselamatan Siber Negara),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi panel dalam forum ‘The AI Wave, Malaysia’s Next Move’ pada Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 di sini hari ini.
Menurut beliau, setakat ini juga tiada ancaman serangan siber yang dilaporkan, termasuk membabitkan sistem kerajaan.
Sementara itu, mengulas berhubung ancaman penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), Fahmi berkata, antara risiko paling membimbangkan ialah penggunaan ejen AI untuk melaksanakan serangan siber secara berkelompok (swarm cyber security attack).
Katanya, ancaman seumpama itu telah dikesan di beberapa negara lain dan memerlukan pemantauan rapi bagi memastikan keselamatan siber agensi serta infrastruktur digital negara terus terpelihara.
“Dan semestinya bagi Malaysia, pihak bertanggungjawab iaitu NACSA akan membuat pemantauan dan sekiranya berlaku satu keadaan ancaman itu semakin dekat atau mula mengancam keselamatan siber agensi dan infrastruktur digital dalam negara, kita akan ambil tindakan untuk jamin keselamatan itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, kerajaan sedang mempergiat usaha memperkukuh keselamatan infrastruktur digital negara, termasuk mempercepatkan peralihan kepada sistem komunikasi selamat berasaskan kuantum.
Jelasnya, teknologi penyulitan kuantum (quantum encryption) dapat menyukarkan usaha pihak tidak bertanggungjawab menggodam dan mencuri data menerusi saluran komunikasi.
Sehubungan itu, beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), NACSA serta syarikat telekomunikasi dan pengendali gentian optik untuk mengadakan perbincangan bagi mengenal pasti langkah diperlukan dalam memastikan keselamatan infrastruktur komunikasi negara.
“Pihak NACSA dan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi (CSCDC) di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga telah menyediakan Pelan Migrasi Kuantum (Quantum Migration Plan) satu perancangan penghijrahan kuantum bagi semua agensi kerajaan dan semua infrastruktur penting negara dan ini akan dilaksana oleh CSCDC dan juga NACSA,” ujarnya. – UTUSAN
The post Tiada laporan ancaman siber besar setakat ini – Fahmi appeared first on Utusan Malaysia.