Persatuan Malaysia Hindu Sangam meluahkan rasa kesal terhadap tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang dilihat masih memakai kasut ketika mengadakan lawatan ke Kuil Sri Maha Mariamman, Kuala Lumpur.
Anggap tindakan mengecewakan
Menerusi satu kenyataan media, persatuan itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai mengecewakan kerana hampir keseluruhan delegasi, termasuk kedua-dua pemimpin, dilihat tidak menanggalkan kasut sepanjang berada di kawasan kuil.
Menurutnya, amalan membuka kasut sebelum memasuki kuil bukan sekadar adat budaya, sebaliknya merupakan tuntutan asas dalam tradisi Hindu yang melambangkan kesucian, kerendahan hati dan penghormatan terhadap rumah ibadat.
Persoal pengurusan kuil
Walaupun delegasi terbabit tidak memasuki ruang paling suci, persatuan itu menjelaskan bahawa kawasan selepas Raja Gopuram, iaitu pintu masuk utama, tetap dianggap sebahagian daripada kawasan suci kuil.
Dalam masa sama, Malaysia Hindu Sangam turut mempersoalkan peranan pihak pengurusan kuil yang didakwa gagal memberikan penerangan sewajarnya kepada delegasi mengenai etika keagamaan tersebut.
Menurut persatuan itu, sekiranya terdapat kekangan keselamatan atau protokol diplomatik, upacara sambutan sepatutnya boleh dilaksanakan di luar kawasan suci tanpa menjejaskan kepentingan lawatan.
Persatuan berkenaan turut mengingatkan bahawa penghormatan terhadap rumah ibadat tidak seharusnya bergantung kepada kedudukan, pengaruh atau kuasa seseorang individu.
Teguran bukan tujuan pertikaikan
Sehubungan itu, pihaknya menggesa kerajaan, pegawai protokol diplomatik, penganjur program serta pengurusan kuil memastikan semua tetamu kenamaan diberikan penerangan jelas mengenai peraturan keagamaan sebelum lawatan berlangsung.
Walau bagaimanapun, Malaysia Hindu Sangam menegaskan teguran tersebut bukan bertujuan mempertikaikan niat Anwar atau Macron, sebaliknya mahu memastikan kesucian rumah ibadat terus dipelihara.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan kunjungan santai di sekitar Petaling Street sebelum melawat Kuil Sri Maha Mariamman sebagai sebahagian daripada pengisian lawatan rasmi Macron ke Malaysia.
Kunjungan itu turut mencerminkan kepelbagaian budaya dan agama di negara ini, sesuatu yang disambut baik oleh persatuan berkenaan meskipun terdapat teguran mengenai pematuhan etika ketika memasuki kawasan rumah ibadat.
Sumber: Facebook Malaysia Hindu Sangam