PUTRAJAYA – UMNO menggesa kerajaan memberikan penjelasan rasmi berhubung status penyahklasifikasian minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, terdapat tiga perkara utama yang perlu diperjelaskan pihak bertanggungjawab susulan perkongsian dokumen berkenaan kepada umum.”Adakah minit berkenaan telah dikelaskan semula secara rasmi? Jika ya, bilakah keputusan itu dibuat dan siapakah yang membuatnya?” katanya dalam kenyataan pada Rabu.Menurutnya, UMNO turut mahu penjelasan mengenai asas kuasa yang digunakan, tatacara yang dipatuhi serta tujuan pengelasan semula dokumen berkenaan.Selain itu, parti berkenaan mahu pihak bertanggungjawab mengesahkan sama ada salinan yang beredar sepadan dengan rekod rasmi dan sama ada penyahklasifikasian itu meliputi keseluruhan minit, termasuk lampiran berkaitan atau hanya bahagian tertentu.”Skop dokumen. Adakah salinan yang beredar sepadan dengan rekod rasmi? Adakah pengelasan semula itu meliputi keseluruhan minit, termasuk lampiran berkaitan atau hanya bahagian tertentu?’ soalnya.Ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Reformasi Institusi) itu, bagi dokumen yang berstatus rahsia rasmi, keputusan untuk mengelaskannya semula hendaklah dibuat oleh pihak berkuasa di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 mengikut tatacara yang terpakai.”Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 12 November lalu menyatakan kesediaan membawa cadangan penyahklasifikasian itu kepada Jemaah Menteri.Bagaimanapun, selepas mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 November, Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan cadangan berkenaan belum dibangkitkan secara langsung dalam mesyuarat tersebut dan prosesnya sedang diatur dengan mengambil kira keperluan undang-undang.Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua memuatnaik petikan dokumen itu di Facebook dan menyifatkannya sebagai minit yang telah dinyahklasifikasikan. Beberapa halaman dokumen berkenaan tidak disertakan dalam hantaran itu.Dalam minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dikongsikan, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, tidak bersetuju dengan keputusan membenarkan Najib, menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.Minit itu turut merekodkan bahawa Yang di-Pertuan Agong menitahkan Hannah menandatangani Perintah Pengampunan Bersyarat selepas beliau mencadangkan supaya dokumen berkenaan ditandatangani pegawai lain, termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang juga Setiausaha Jemaah Menteri.Dalam pada itu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menegaskan bahawa ketelusan dalam pengendalian rekod Lembaga Pengampunan perlu berjalan seiring dengan pematuhan undang-undang.”UMNO menghormati kedudukan Lembaga Pengampunan dan menjunjung kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
UMNO mahu status penyahklasifikasian minit pengampunan Najib diperjelas
Malay News | https://www.malay.news/umno-mahu-status-penyahklasifikasian-minit-pengampunan-najib-diperjelas/