sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Cuba elak kenderaan keluar simpang, lori rempuh lapan kenderaan
Kuala Lumpur: Institut Sukan Negara (ISN) bersedia bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bagi menyelaras bantuan kepakaran untuk membantu proses pemulihan dan menjaga kebajikan atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin.
ISN dalam kenyataan hari ini berkata, sokongan berkenaan merangkumi kepakaran perubatan sukan, rehabilitasi, fisioterapi, psikologi sukan dan sains sukan, tertakluk kepada penilaian klinikal serta keperluan individu atlet berkenaan.
Menurutnya, proses pemulihan Hafizuddin memerlukan pendekatan menyeluruh dan berperingkat, dengan mengambil kira aspek kesihatan fizikal, fungsi anggota badan, pemulihan psikologi serta penyesuaian terhadap kehidupan seharian.
“Sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab dalam bidang sains sukan, perubatan sukan dan teknologi sukan negara, ISN melihat aspek kebajikan serta kesejahteraan atlet sebagai satu tanggungjawab yang melangkaui pencapaian di gelanggang pertandingan,” menurut kenyataan itu.
ISN turut menegaskan perjalanan seseorang atlet tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan keupayaan untuk kembali bertanding, sebaliknya turut merangkumi kualiti hidup, kesejahteraan mental, keyakinan diri dan peluang meneruskan kehidupan dengan sokongan sewajarnya.
Dalam pada itu, ISN menzahirkan rasa dukacita dan simpati terhadap Hafizuddin yang terpaksa menjalani prosedur pemotongan tangan kanan susulan kecederaan serius akibat kemalangan jalan raya Isnin lalu.
ISN turut mendoakan agar atlet itu diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi ujian berkenaan, selain berharap dia serta keluarga tabah sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan.
Hafizuddin sebelum ini mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, selain mencipta rekod kebangsaan dan rekod temasya menerusi acara snatch.
Dia terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), kira-kira jam 11 malam Isnin lalu, mengakibatkan kecederaan serius pada tangan, bahu, kaki dan kepala.
Pembedahan yang dijalankan malam tadi menyaksikan tangan kanannya terpaksa dipotong sehingga melepasi siku, sekali gus menamatkan kariernya dalam sukan angkat berat.
© New Straits Times Press (M) Bhd