LATEST

Kawalan tahap tinggi menjelang Festival Loy Krathong

Kawalan tahap tinggi menjelang Festival Loy Krathong

NARATHIWAT (THAILAND): Pihak berkuasa Selatan Thailand sekali lagi meletakkan kawalan ke tahap tertinggi bagi memastikan tiada ancaman keselamatan, menjelang perayaan penting masyarakat Buddha, Loy Krathong, pada Selasa depan.

Walaupun, insiden pengeboman hanya pernah berlaku sekali dalam tempoh 10 tahun lalu iaitu pada November 2016, hari perayaan diadakan, kawalan keselamatan dan pemeriksaan tetap dipertingkatkan selepas siri serangan di Wilayah Yala, Songkhla dan Satun 11 dan 12 November lalu.

Baca juga: Malaysia Hindu Sangam kesal PM Anwar, Macron pakai kasut ketika lawatan ke kuil

Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, misi utama pemeriksaan di setiap sekatan jalan raya adalah untuk mencari barang haram, senjata api, narkotik, individu dengan waran tangkap, dan pekerja asing tanpa izin.

Menurutnya, selain penubuhan pusat pemeriksaan sementara, rondaan keselamatan turut dipergiatkan di semua laluan masuk dan keluar setiap wilayah, khususnya di Daerah Hat Yai, Songkhla yang menjadi kawasan utama festival Loy Krathong pada 24 November ini.

“Tentera, polis dan pentadbiran setiap daerah telah diarah meningkatkan kawalan keselamatan menjelang Festival Loy Krathong.

“Pemeriksaan ketat lebih banyak ditumpukan di laluan masuk dan keluar bandar utama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Untuk rekod, perayaan Loy Krathong adalah ritual menghanyutkan krathong atau bekas daun pisang berisi bunga, lilin, dan colok, bertujuan memohon maaf dan berterima kasih kepada Dewi Air. Umat Islam dilarang untuk menyertai upacara ini kerana bertentangan dengan konsep tauhid.

Mengenai dua insiden pengeboman di Wilayah Satun pada 10 dan 11 November lalu yang turut mencederakan lapan pelajar sekolah, jurucakap itu mendedahkan polis masih mengumpul bukti, termasuk cap jari terpendam, kenyataan saksi, dan rakaman kamera litar tertutup di kawasan sepanjang laluan melarikan diri.

Beliau berkata, pengeboman itu dilakukan dua suspek yang menggunakan motosikal sebagai kenderaan untuk melarikan diri.

“Siasatan awal mengesahkan bahawa pelaku bukan dari Wwilayah Satun, sebaliknya individu dari tiga wilayah sempadan selatan.

“Modus operandi dan kaedah mereka adalah serupa dengan yang digunakan dalam serangan dan tangkapan di Wilayah Phuket sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

The post Kawalan tahap tinggi menjelang Festival Loy Krathong appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news