am@hmetro.com.my
Baca juga: ‘Di mana Atilya?’
Kuala Terengganu: Cuba mengelak kenderaan keluar simpang dipercayai punca sebuah lori hilang kawalan dan terbabit kemalangan dengan lapan kenderaan di Jalan Wakaf Beruas di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira 8 pagi ketika lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 35 tahun dalam perjalanan dari Bachok, Kelantan ke Ajil, Hulu Terengganu.
Katanya, siasatan awal mendapati ketika tiba di lokasi, sebuah kenderaan tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri lori menyebabkan kenderaan itu cuba mengelak dengan memasuki lorong kanan.
“Tindakan itu menyebabkan lori terbabit melanggar kenderaan lain yang berada di lorong kanan.
“Sebanyak lapan kenderaan iaitu Toyota Vios, Perodua Bezza, Perodua Axia, Proton Wira, Perodua Aruz dan tiga Perodua Alza mengalami kerosakan,” katanya hari ini.
Menurutnya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu, manakala jumlah kerosakan kenderaan masih dalam siasatan.
Azli berkata, ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori juga mendapati negatif dadah.
© New Straits Times Press (M) Bhd