LATEST
National

MBSB naik unjuran ekonomi Malaysia kepada 5.4 peratus tahun ini

MBSB naik unjuran ekonomi Malaysia kepada 5.4 peratus tahun ini

KUALA LUMPUR: MBSB Research menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2026 kepada 5.4 peratus daripada 5.1 peratus sebelum ini, disokong prestasi lebih kukuh daripada jangkaan dalam sembilan bulan pertama.

Baca juga: Tahanan Rumah Najib: Peguam Negara, Hannah Yeoh Bantah

Bahagian penyelidikan MBSB Investment itu berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.6 peratus bagi tempoh sembilan bulan berkenaan, berbanding pertumbuhan 5.2 peratus sepanjang 2025.

Ekonomi berkembang 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, lebih sederhana berbanding enam peratus pada suku sebelumnya, namun mengatasi anggaran awal rasmi sebanyak 5.3 peratus dan jangkaan MBSB Research pada 5.4 peratus.

Permintaan domestik menjadi tunjang utama apabila berkembang 5.5 peratus serta menyumbang 5.2 mata peratusan atau kira-kira 95 peratus kepada keseluruhan pertumbuhan KDNK suku ketiga.

Penggunaan swasta kekal sebagai penyumbang terbesar sebanyak 2.7 mata peratusan, diikuti pelaburan swasta sebanyak 1.6 mata peratusan dan perubahan inventori sebanyak 0.6 mata peratusan.

“Permintaan domestik dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan KDNK Malaysia,” menurut MBSB Research dalam nota penyelidikannya.

Pembentukan modal tetap kasar berkembang 8.1 peratus berbanding 4.6 peratus pada suku kedua, dipacu pertumbuhan pelaburan swasta yang meningkat kepada 9.4 peratus daripada 4.3 peratus.

Bagaimanapun, pertumbuhan penggunaan swasta menyederhana kepada 4.3 peratus daripada 4.8 peratus, menunjukkan isi rumah lebih berhati-hati berbelanja ketika berdepan risiko inflasi yang boleh menjejaskan kuasa beli.

Dari sudut penawaran, sektor perkhidmatan berkembang 5.8 peratus, disokong perkhidmatan kesihatan swasta, hartanah, insurans serta teknologi maklumat dan komunikasi.

Sektor pembuatan pula berkembang lebih pantas sebanyak 7.7 peratus, diterajui industri elektrik dan elektronik, termasuk komponen elektronik, peralatan komunikasi serta barangan elektronik pengguna.

Sektor pertanian kembali berkembang 1.4 peratus hasil pemulihan pengeluaran kelapa sawit, manakala pertumbuhan pembinaan menyederhana kepada 5.9 peratus dan sektor perlombongan menguncup 6.1 peratus.

Walaupun eksport sebenar berkembang 25.2 peratus, import meningkat lebih pantas sebanyak 26.7 peratus, menyebabkan sumbangan eksport bersih mengecil kepada 0.3 mata peratusan daripada 2.4 mata peratusan pada suku kedua.

Lebihan akaun semasa turut mengecil kepada RM5.7 bilion daripada RM10.8 bilion pada suku sebelumnya, namun akaun kewangan mencatatkan aliran masuk bersih RM19.8 bilion, termasuk pelaburan langsung asing bersih RM14.3 bilion.

MBSB Research menjangkakan pertumbuhan menyederhana kepada kira-kira 4.8 peratus pada suku keempat sebelum ekonomi mencatat pertumbuhan keseluruhan 5.4 peratus bagi 2026.

Pertumbuhan dijangka terus disokong perbelanjaan isi rumah, aktiviti pelaburan, projek infrastruktur, pemulihan pelancongan serta permintaan kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik berkaitan kecerdasan buatan.

Namun, ia itu memberi amaran kemungkinan sekatan khusus terhadap industri semikonduktor, permintaan akhir lebih perlahan, ketegangan geopolitik serta gangguan perdagangan dan rantaian bekalan boleh mengekang prospek pertumbuhan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news