LATEST
National

SUK Negeri Sembilan tidak tahu Ismail mahu letak jawatan

SUK Negeri Sembilan tidak tahu Ismail mahu letak jawatan

Seremban: Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata beliau dan pejabatnya tidak menerima atau mendapat sebarang maklumat berhubung surat peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar.

Baca juga: Awal Ashaari Tak Galakkan Lara, Lyla Jadi Artis

Beliau berkata, Ismail yang Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Juasseh juga tidak pernah menyampaikan kepadanya mengenai hasrat untuk melepaskan jawatan.

“Saya tidak mendapat maklumat berhubung Datuk Ismail Lasim hendak meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, malah tidak juga melihat sebarang surat berhubung perkara itu yang dikatakan beliau hantar kepada pihak istana.

“Saya hanya mengetahui perkembangan mengenai peletakan jawatan itu menerusi media sosial pada malam 16 November lalu.

“Dalam sehari dua ini pun saya tidak menemui beliau,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pelancaran Modul Aulad Sejahtera 2026 (Edisi Prasekolah Kementerian Pendidikan) di Klana Resort di sini, hari ini.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyempurnakan majlis berkenaan.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar.

Mengulas lanjut, Mohd Zafir berkata, beliau juga tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung status kedudukan Ismail, termasuk perkembangan pertemuan Menteri Besar itu dengan Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, di sini, semalam.

Beliau berkata, dari segi prosedur peletakan jawatan Menteri Besar, kelazimannya tiada sebarang prosedur operasi standard (SOP) khusus berhubung perkara itu berikutan situasi berkenaan belum pernah berlaku di negeri ini.

“Bagaimanapun perkara berkaitan pelantikan atau pengambilan jawatan Menteri Besar ada diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri (UUTKNS ) 1959,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, urusan pentadbiran Pejabat SUK dan jabatan kerajaan negeri lain berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

“Sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat juga terus beroperasi seperti biasa. Begitu juga fungsi pejabat Menteri Besar berjalan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Ismail didapati meneruskan tugasannya seperti biasa dengan menghadiri perjumpaan dengan kakitangan kerajaan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (SUKNS), dan menghadiri beberapa majlis rasmi antaranya Majlis Graduasi Tingkatan 5 Maahad Tahfiz As-Sa’idiyyah Tahun 2026 di Palm Hotel, di sini, semalam.

Media semalam melaporkan Ismail dilaporkan tiba di Istana Hinggap sekitar jam 5 petang, dipercayai bagi menghadap Tuanku Muhriz.

Kenderaan yang membawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dilihat meninggalkan Istana Hinggap sekitar jam 6.30 petang menerusi pintu utama.

Sehingga kini, masih belum ada kenyataan rasmi daripada pihak istana mahu pun Ismail berkenaan hasil pertemuan itu.

Terdahulu, Istana Negeri Sembilan menerusi kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Datuk Azizi Mohamad Ali memaklumkan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Pihak istana juga sebelum ini memaklumkan bahawa ketulenan surat peletakan jawatan yang dikaitkan dengan Ismail masih belum disahkan.

Kelmarin, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zamry Abd Kadir dilaporkan berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima satu salinan surat peletakan jawatan berkenaan, yang didakwa diutuskan kepada Tuanku Muhriz.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news