LATEST

Jangan terima bulat-bulat! Adam Adli mahu mahasiswa bijak bezakan fakta, maklumat palsu

Jangan terima bulat-bulat! Adam Adli mahu mahasiswa bijak bezakan fakta, maklumat palsu

Lambakan maklumat di media sosial, ditambah pula dengan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) menuntut golongan mahasiswa supaya lebih bijak menilai kesahihan sesuatu perkara sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, cabaran masyarakat hari ini bukan lagi berpunca daripada kekurangan maklumat, sebaliknya terlalu banyak maklumat yang diterima sehingga fakta dan kepalsuan semakin sukar dibezakan.

Baca juga: Penularan minit mesyuarat lembaga pengampunan satu bentuk hasutan -Asyraf Wajdi

Beliau berkata, keadaan itu menjadi lebih rumit apabila teknologi AI generatif berupaya menghasilkan kandungan visual dan grafik yang kelihatan meyakinkan, sekali gus meningkatkan risiko masyarakat terpedaya dengan maklumat tidak benar.

“Kita berada dalam zaman di mana kita bukan tidak mendapat maklumat, tetapi sebenarnya terlalu banyak maklumat. Semua perkara itu bercampur antara kebenaran dan kepalsuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Forum SIM 6: Kebenaran Di Era Kebisingan Maklumat sempena Putrajaya Festival of Ideas (FOI) 2026 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Putrajaya, hari ini.

Universiti perlu jadi benteng kebenaran

Mengulas lanjut, Adam Adli menekankan bahawa universiti mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk generasi yang mampu berfikir secara kritis dan membuat penilaian berdasarkan fakta serta bukti.

Ujarnya, budaya akademik yang diamalkan di institusi pendidikan tinggi sepatutnya menjadi asas kepada mahasiswa untuk membezakan maklumat sahih daripada dakwaan yang tidak mempunyai sandaran kukuh.

Beliau mengambil contoh penulisan esei dan tugasan akademik yang memerlukan pelajar mengemukakan data, statistik serta rujukan bagi menyokong sesuatu hujah.

Menurutnya, disiplin tersebut bukan sekadar memenuhi keperluan pembelajaran, malah melatih mahasiswa supaya tidak menerima sesuatu maklumat secara membuta tuli.

“Bayangkan, kalau anda menulis esei atau tugasan, anda perlu memastikan data mencukupi dan mempunyai rujukan statistik.
“Di situlah sebenarnya sikap kita dibentuk untuk memastikan kita mempunyai keupayaan menilai fakta dan maklumat yang diberikan,” ujarnya.

Adam Adli turut berpandangan bahawa universiti tidak seharusnya mengehadkan peranannya kepada pembelajaran dalam kampus semata-mata, sebaliknya perlu menjadi pusat pendidikan masyarakat yang membantu memperkukuh budaya berasaskan bukti.

Pendidikan awal penting tangani maklumat palsu

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha memerangi maklumat palsu tidak boleh hanya bergantung kepada tindakan membetulkan dakwaan selepas ia tersebar.

Sebaliknya, masyarakat khususnya generasi muda perlu dilatih sejak awal supaya mempunyai keupayaan mengenal pasti perbezaan antara perkara benar dengan palsu.

Menurut Adam Adli, pendekatan pencegahan melalui pendidikan jauh lebih penting bagi membentuk masyarakat yang tidak mudah dipengaruhi kandungan mengelirukan, termasuk yang dihasilkan menggunakan teknologi AI.

Beliau turut melihat perkembangan kesedaran masyarakat terhadap kandungan AI sebagai sesuatu yang positif, namun mengingatkan bahawa risiko penyalahgunaan teknologi itu masih perlu diberikan perhatian.

“Perkara paling mustahak sekarang adalah kita perlu melatih anak-anak kita menghadapi zaman ini dengan keupayaan untuk berfikir dan membezakan perkara yang betul daripada yang salah.
“Ini adalah pendekatan pencegahan, bukannya rawatan. Saya berharap pencegahan akan lebih berkesan,” katanya.

Justeru, penekanan terhadap pemikiran kritis dan keupayaan menilai kesahihan maklumat perlu terus diperkukuh melalui pendidikan tinggi bagi memastikan mahasiswa bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi juga individu yang bertanggungjawab dalam membentuk masyarakat bermaklumat.

Latest news