ALOR SETAR: Pusat data tidak akan dibangunkan di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) kerana Kedah mahu mengutamakan pelaburan industri yang menawarkan sehingga 15,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebuah pusat data lazimnya hanya menawarkan kira-kira 100 peluang pekerjaan berbanding pelaburan lain yang menawarkan lebih banyak pekerjaan.
Katanya, selain itu pusata data memerlukan penggunaan tanah, bekalan air dan tenaga elektrik yang tinggi.
“Kalau seluas kawasan Fasa Lima KHTP itu ditawarkan kepada syarikat lain, ia boleh menyediakan sehingga 15,000 peluang pekerjaan.
“Jadi, kita kata itu bukan keutamaan. Keutamaan kita ialah pelaburan yang menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, terdapat dua permohonan daripada syarikat untuk membangunkan pusat data di KHTP.
Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri meminta Kulim Technology Park Corporation (KTPC) yang menguruskan taman teknologi itu untuk mencari lokasi alternatif.
“Antara kawasan yang boleh dipertimbangkan ialah Bakar Arang, Gurun, Bukit Kayu Hitam, Padang Terap, Padang Meha dan Kulim Industrial Corridor.
“Pemilihan lokasi perlu mengambil kira kemampuan serta ketersediaan utiliti, bekalan tenaga, air dan tanah bagi memastikan pembangunan tidak menjejaskan keperluan sektor lain.
“Kita bukan tidak mahu pelaburan pusat data, kita mahu. Tetapi tidaklah sampai berpuluh-puluh pusat data dibangunkan sehingga akhirnya mencetuskan isu bekalan air. Kalau sampai begitu, saya tidak mahu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd