puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Ali XPDC dikejarkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Institut Jantung Negara (IJN), di sini, selepas dipercayai mengalami sesak nafas kira-kira jam 4 petang tadi.
Baca juga: Kedah tidak utamakan pelaburan pusat data di KHTP
Perkara itu dikongsikan anak lelakinya, Wan Aliuddin Aqiel atau Aqiel menerusi hantaran di status WhatsApp.
Pada masa sama, Aqiel memohon orang ramai terutama peminat untuk mendoakan agar segala urusan bapanya itu dipermudahkan.
Sementara itu, pemain dram XPDC, Lola turut berkongsi hantaran dibuat usahawan Ejay Da’ie mengenai keadaan kesihatan Ali yang merosot sejak tiga hingga empat hari lalu serta mengalami sesak nafas.
“Abang Ali XPDC dikejarkan ke hospital IJN. Ya Allah dia dah tak berdaya lagi. Tiga ke empat hari lepas keadaan beliau sentiasa sesak nafas dan mukanya pucat tidak bermaya.
“Jadi saya dan Moq Havoc bermesyuarat dan ambil keputusan untuk terus hantar dia ke IJN disebabkan keadaannya dah tenat,” tulis Ejay dalam hantaran Facebook, hari ini.
Dalam hantaran sama, pembedahan jantung yang perlu dilakukan ke atas Ali memerlukan kos amat tinggi sekali gus bantuan orang ramai dimohon menampung kos rawatan itu.
“Tapi kos perubatan untuk jantung beliau sangat tinggi dan perlukan bantuan sahabat-sahabat semua.
“Perlu dilakukan pembedahan segera. Mohon uar-uarkan dan kongsi kepada semua ya. Semoga Allah rahmati dan beri kebaikan utk semua. Ya Allah selamatkan Abang Ali,” kongsi hantaran Ejay lagi.
Orang ramai yang ingin memberikan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 162106484056 atas nama Mohd Ali Ismail.
Terdahulu, Ali pernah dimasukkan ke wad kecemasan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang kerana mengalami serangan jantung pada Oktober lalu.
Sebelum ini, Ali pernah dimasukkan ke hospital sama selepas kembali dari mengerjakan ibadah umrah pada hujung Januari lalu kerana mengalami jangkitan virus.
Dia ketika itu turut memakai alat bantuan pernafasan kerana paru-paru berair.
Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, 58, mengerjakan ibadah umrah di Makkah pada 12 Januari dan kembali ke tanah air pada 24 Januari lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd