SHENZHEN: Malaysia terus memfokus usaha mengembangkan perdagangan, menarik pelaburan dan mengekalkan hubungan baik dengan semua negara untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi serta mencipta peluang lebih besar bagi perniagaan.
Baca juga: SUK Negeri Sembilan tidak tahu Ismail mahu letak jawatan
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar berkecuali Malaysia serta pembabitannya dengan semua negara, termasuk kuasa besar dunia, mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perniagaan dan pelaburan.
“Dasar kami ialah, kami memanggilnya (dasar) berkecuali. Mereka (pemimpin) sering bertanya kepada saya: ‘Mengapa anda mempunyai hubungan istimewa yang begitu baik dengan Presiden Xi Jinping dan China?’
“Saya katakan: ‘Inilah yang dimaksudkan dengan kepusatan. Kita berbaik dengan semua pihak’,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2026, di sini, hari ini.
Beliau turut menyentuh mengenai pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bersama pemimpin ASEAN, semalam, sambil menyatakan ia adalah pertemuan baik memandangkan Malaysia mahukan hubungan yang mesra dengan semua pihak.
Anwar berkata, beliau menerima kunjungan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, di Kuala Lumpur pada pagi semalam, manakala pada pagi ini, beliau bertemu Presiden China, Xi Jinping, dan seterusnya Presiden Russia, Vladimir Putin.
“Jadi, anda boleh bayangkan, apabila kita mengamalkan dasar kepusatan, iaitu menjalin hubungan baik dengan semua pihak, ia adalah sesuatu yang baik untuk perniagaan,” katanya.
Anwar sekali gus memaklumkan bahawa beliau bertemu Macron, Trump, Jinping, Putin dan kesemua 11 pemimpin ASEAN dalam tempoh kurang daripada dua hari.
Beliau menegaskan libat urus itu adalah suatu yang perlu bagi perniagaan.
“Kestabilan politik dan dasar yang jelas, serta insentif yang baik untuk menarik perniagaan, merupakan prasyarat bagi pelaburan perniagaan,” katanya.
Turut hadir pada acara itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, serta Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Dialog yang menghimpunkan pemimpin industri daripada 23 syarikat terkemuka China itu menyediakan platform strategik untuk memperkukuhkan hubungan ekonomi dua hala serta meneroka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik antara Malaysia dengan China.
Perbincangan dialog itu merangkumi sektor berimpak tinggi seperti tenaga baharu dan bahan bateri bersama EVE Energy, Shenzhen Senior Technology, Capchem, Tinci dan XTC New Energy; peranti pintar dan teknologi digital bersama Xiaomi, Honor dan Tencent; teknologi perubatan bersama Mindray; serta pembuatan termaju, automasi, perkhidmatan kewangan dan logistik.
Selain itu, beberapa syarikat utama China, termasuk Plastech China, Eternal Asia, Guangdong Import & Export Co (GDIE), dan Kingfa Sci & Tech, turut meneroka peluang mendapatkan bekalan produk serta bahan dari Malaysia bagi memenuhi keperluan operasi dan pasaran global mereka.
Ia merangkumi sektor pembuatan bernilai tinggi, bahan kimia khusus, polimer, perkhidmatan digital dan produk berasaskan sawit.
Anwar berkata, usaha itu berpotensi membuka lebih banyak peluang eksport, memperluas pasaran, serta meningkatkan penyertaan syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam rantaian bekalan antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih inklusif dan berdaya saing.
© New Straits Times Press (M) Bhd