LATEST

Lebihan dana tampung kos mahkamah dipersoal, Sanusi minta tanya Yayasan Kedah Sejahtera

Lebihan dana tampung kos mahkamah dipersoal, Sanusi minta tanya Yayasan Kedah Sejahtera

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyerahkan sepenuhnya kepada Yayasan Kedah Sejahtera untuk menjelaskan isu lebihan kutipan sumbangan orang ramai yang dikumpulkan bagi menampung kos mahkamah kerajaan negeri dalam kes berkaitan perjudian.

Pengumpulan & pengurusan bawah tanggungjawab yayasan

Memetik laporan daripada Berita Harian, urusan pengumpulan dan pengurusan dana berkenaan terletak di bawah tanggungjawab yayasan tersebut, sekali gus tidak wajar untuknya memberikan penjelasan bagi pihak badan berkenaan.

Baca juga: Malaysia fokus kembangkan perdagangan, pacu pertumbuhan ekonomi

Beliau juga memaklumkan kerajaan negeri tidak mempunyai masalah menerima sebarang jumlah sumbangan yang disalurkan oleh yayasan itu.

“Kalau dia nak bagi, kita terima saja. Kalau dia bagi RM100 juta pun kita terima.
“Itu kena tanya Yayasan Kedah Sejahtera. Tanya saya, saya tidak tahu jawab. Saya jawab bagi orang lain, tidak patut juga kan?” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi penggulungan Belanjawan Kedah 2027 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman.

Foto: Berita Harian

Penggunaan NGO lebih praktikal untuk kutip sumbangan

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, Teh Swee Leong mempersoalkan lebihan kutipan sumbangan menerusi Yayasan Kedah Sejahtera yang dilaporkan mencecah RM283,676.31.

Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu turut meminta kerajaan negeri menjelaskan kewajaran menggunakan yayasan yang berteraskan kebajikan rakyat sebagai saluran mengumpul dana bagi membayar kos mahkamah berkaitan isu premis perjudian.

Mengulas perkara tersebut, Sanusi menjelaskan penggunaan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai saluran kutipan lebih praktikal berbanding sumbangan diterima secara terus oleh kerajaan negeri.

Katanya, kaedah itu memudahkan pengurusan sumbangan orang ramai yang diberikan dalam jumlah berbeza.

“Kalau orang ramai hendak menyumbang terus kepada kerajaan negeri, kerajaan kena bagi resit.
“Orang sumbang itu bukan RM1, RM2, RM5… jenuh koyak resit kerajaan. Sebab itu dia sumbang kepada NGO, itu lebih baik,” katanya.

Foto: Astro Awani

Dalam perkembangan sama, Sanusi berharap usaha kerajaan negeri menentang perkara yang dianggap mungkar dan tidak baik dalam masyarakat terus memperoleh sokongan rakyat Malaysia.

Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat mempunyai hak untuk menentukan pendirian masing-masing terhadap sesuatu dasar atau perjuangan menerusi proses demokrasi.

“Ada pihak yang menyokong juga benda-benda tidak baik atas alasan budayalah, hak merekalah itu semua.
“Itu rakyatlah kena buat pendirian. Patut atau tidak patut? Diterima atau ditolak? Kalau tidak suka, tolaklah depa (mereka). Kita demokrasi, (rakyat) ada kuasa,” katanya.

Terdahulu, pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung arahan tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan perjudian di negeri itu.

Keputusan tersebut sekali gus mengekalkan dapatan mahkamah bahawa arahan kerajaan negeri adalah di luar bidang kuasa atau ultra vires serta tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang turut memerintahkan Kerajaan Kedah membayar kos sebanyak RM50,000 selepas menolak permohonan berkenaan secara sebulat suara.

Sumber: Berita Harian (Noorazura Abdul Rahman)

Latest news