asyikin.mat@hmetro.com.my
Baca juga: Malaysia fokus kembangkan perdagangan, pacu pertumbuhan ekonomi
Kuala Lumpur: Harga runcit petrol RON97 tanpa subsidi turun 20 sen seliter, manakala harga runcit RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing turun 15 sen seliter bagi tempoh 19 hingga 25 November ini.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, harga baharu RON 97 tanpa subsidi itu ditetapkan pada RM4 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi RM3.72 dan diesel tanpa subsidi RM4.72 seliter.
Kenyataan itu memaklumkan harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau menunjukkan penurun dalam tempoh pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM), seiring dengan penyederhanaan harga minyak mentah dunia.
Perkembangan ini mencerminkan tekanan harga yang semakin berkurangan dalam pasaran petroleum antarabangsa.
“Pada masa sama, jangkaan peningkatan bekalan minyak mentah global mempengaruhi pergerakan harga petroleum dunia. Bagaimanapun bekalan produk petroleum terus meningkat walaupun beberapa kekangan yang boleh mempengaruhi kestabilan harga pasaran.
“Ketidaktentuan geopolitik dan risiko gangguan penghantaran petroleum masih boleh menjejaskan bekalan global.
“Sehubungan itu, harga petroleum dunia dijangka terus turun naik dalam tempoh terdekat,” menurut kenyataan MOF.
Menurut kenyataan itu, kerajaan MADANI kekal komited melindungi rakyat dan perniagaan melal pelaksanaan subsidi bahan api bersasar BUDI MADANI.
Peruntukan hampir RM4 bilion disediakan untuk subsidi bahan api pada tahun depan bagi mengurangkan rakyat mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Dalam pada itu, MOF memaklumkan melalui BUDI95, penerima yang layak terus menikmati harga RON95 pada RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM3.72 seliter.
“Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.73 bagi setiap liter, bersamaan 47 peratus daripada harga tanpa subsidi
“Bagi BUDI Diesel pula, penerima yang layak terus membayar RM2.10 bertanding harga tanpa subsidi RM4.72 seliter dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.67 seliter atau 56 peratus daripada harga tanpa subsidi,” katanya.
Menurut MOF, melalui BUD195 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada hadkelayakan bulanan
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” menurut kenyatan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd