Sungai Siput: Lelaki warga emas maut dipercayai diserang harimau belang ketika mencari buluh di kawasan hutan Lata Serai, Kampung Bawong, di sini.
Baca juga: Dua kali telefon suami, panggilan kedua bawa berita duka
Berkongsi perkara itu di Facebook, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, mangsa Ngah Itam, 65, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mohd Zolkafly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang berkata, terdahulu beliau menerima maklumat kejadian daripada Ketua Balai Polis Lintang selepas selesai Mesyuarat Penyelarasan MEXCLUB Kali Ke-62 di Desaru, Johor.
“Ini adalah kejadian kedua yang mengorbankan nyawa penduduk akibat serangan harimau di kawasan Sungai Siput dalam tempoh dua bulan.
“Pada 21 September lalu, seorang penduduk Kampung Takong, Pos Perwor turut meninggal dunia selepas dipercayai diserang harimau ketika mencari rotan di hutan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pemantauan dan langkah keselamatan di kawasan berisiko dapat ditingkatkan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Mohd Zolkafly turut meminta penduduk Kampung Bawong dan kawasan berhampiran supaya sentiasa berwaspada, menjauhi kawasan kejadian serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
Dalam hantaran sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Balai Polis Lintang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk setempat atas bantuan serta kerjasama diberikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd