mhafis@mediaprima.com.my
Baca juga: ZUS COFFEE dinobat jenama terbaik tahun ini di London
Putrajaya: Unit Integriti (UI) di setiap agensi awam perlu lebih proaktif melaksanakan fungsi teras masing-masing dengan memberi penekanan kepada pengesanan kelemahan prosedur, pengurusan aduan dan tindakan pencegahan bagi memastikan integriti serta akauntabiliti organisasi terus terpelihara.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, pelaksanaan enam fungsi teras UI merangkumi tadbir urus, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan, pengurusan aduan, pematuhan serta tatatertib perlu diselaraskan mengikut keperluan dan risiko agensi.
Menurutnya, dapatan aduan dan pengesanan perlu dimanfaatkan untuk mengenal pasti kelemahan kawalan, seterusnya menentukan penambahbaikan prosedur serta tindakan pencegahan yang bersesuaian.
“Keberkesanan Unit Integriti turut memerlukan kerjasama bahagian pengurusan sumber manusia, kewangan, perolehan, audit dalam dan penasihat undang-undang mengikut keperluan sesuatu isu,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Ketua Unit Integriti (KUI) Agensi Awam Siri 9 Bil. 1 Tahun 2026 di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau meminta setiap KUI memberikan perhatian terhadap pelaksanaan Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) selaras dengan Pekeliling Am Bilangan 4 Tahun 2021 yang menetapkan modul berkenaan dilaksanakan dalam kursus penjawat awam pada setiap tahun.
Beliau turut menggalakkan penerapan pendekatan Behavioural Insights (BI) bagi memperkasakan Unit Integriti masing-masing untuk membanteras rasuah dan mendorong perubahan tingkah laku dalam kalangan penjawat awam seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK 13) 2026-2030.
Mesyuarat itu turut dihadiri Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, Lim Bee Kean dan Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM, Nur Haryati Abdul Hamid.
Caption pix:
© New Straits Times Press (M) Bhd