LATEST

ZUS COFFEE dinobat jenama terbaik tahun ini di London

ZUS COFFEE dinobat jenama terbaik tahun ini di London

Kuala Lumpur : Rangkaian kopi tempatan yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara, ZUS COFFEE melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai Jenama Terbaik Tahun Ini (Brand of the Year) bagi kategori Peruncit (Kopi), Peringkat Kebangsaan pada majlis World Branding Awards 2026-2027 di Hampton Court Palace, London, United Kingdom, baru-baru ini.

Pengiktirafan berprestij untuk tahun kedua berturut-turut itu mencerminkan penguasaan pasaran ZUS COFFEE yang semakin meluas serta keyakinan kukuh dalam kalangan pengguna.

Baca juga: Lima cedera parah, bas persiaran terbabas

Pemenang anugerah terbabit dipilih menerusi proses penilaian ketat merangkumi tiga peringkat utama iaitu penilaian nilai jenama, undian awam secara dalam talian dan penyelidikan pasaran pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ZUS COFFEE, Venon Tian berkata, kejayaan bermula daripada sebuah kios kecil pada 2019 hingga mengukuhkan kedudukan dalam tempoh tujuh tahun adalah hasil komitmen seluruh pasukan dan sokongan padu pelanggan.

“Ketika mula bertapak, kami tidak mempunyai semua jawapan untuk segalanya, namun kami sentiasa berpegang pada satu prinsip iaitu kopi berkualiti tidak seharusnya menjadi satu kemewahan, sebaliknya sesuatu yang mampu dinikmati oleh semua.

“Melihat sejauh mana kami berkembang hari ini sememangnya melangkaui jangkaan. Anugerah ini menjadi peringatan untuk kami terus memberikan perkhidmatan dengan sepenuh hati, seperti mana semangat seorang Zuristar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Memanfaatkan ekosistem digital menerusi aplikasi ZUS, jenama kelahiran Kuala Lumpur itu kini berjaya melebarkan sayap ke tujuh negara iaitu Malaysia, Singapura, Filipina, Brunei, Thailand, Pakistan dan Indonesia dengan rangkaian melebihi 1,000 cawangan.

Lebih membanggakan, ZUS COFFEE turut merancang menembusi pasaran United Kingdom pada Januari tahun depan, sekali gus membuktikan daya saing jenama tempatan dalam industri makanan dan minuman (F&B) global.

Menerusi adunan biji kopi eksklusif yang disesuaikan mengikut cita rasa tempatan di setiap pasaran, dua menu terlarisnya iaitu Spanish Latte dan CEO Latte masing-masing sudah merekodkan jualan melebihi 46 juta dan 13 juta cawan di seluruh dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news