Kuala Selangor : Keprihatinan mendalam terhadap nasib rakyat yang sedang diuji musibah banjir terus dizahirkan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, apabila berkenan mencemar duli menyantuni mangsa yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, di sini, semalam.
Dalam keberangkatan itu, baginda meluangkan masa menyapa dan bertanya khabar secara dekat keluarga yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing susulan bencana alam berkenaan.
Baca juga: Malaysia, AS mahu bekerjasama bangunkan Awan AI Berdaulat Malaysia
Tengku Amir Shah turut menzahirkan harapan agar kesemua mangsa dikurniakan kekuatan serta ketabahan tinggi dalam menempuh ujian getir itu, selain mendoakan agar keadaan kembali pulih seperti sedia kala dan segala urusan mereka dipermudahkan.
Kunjungan berjiwa rakyat itu amat bermakna buat penduduk setempat memandangkan Kuala Selangor menjadi antara daerah yang terjejas teruk akibat banjir susulan hujan lebat berterusan yang melanda negeri ini.
Setakat semalam, seramai 346 mangsa daripada 86 keluarga dilaporkan masih berteduh di PPS SK Parit Mahang yang mula dibuka sejak 5 November lalu. Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, taburan hujan sangat lebat antara 63.5 hingga 114.5 milimeter mengakibatkan banjir melanda 23 kawasan merangkumi empat daerah iaitu Klang, Gombak, Kuala Selangor dan Petaling.
Keberangkatan baginda itu sekali gus mencerminkan keprihatinan berterusan institusi diraja Selangor terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan yang terkesan dan memerlukan sokongan moral ketika berdepan kesukaran akibat bencana.
© New Straits Times Press (M) Bhd