TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, diberitahu bahawa seorang pegawai polis mendakwa ditempatkan bawah Jawatan Kontinjensi (Tahan Kerja) dan kehilangan pemangkuan pangkat Sarjan Mejar selepas dituduh terbabit kes pembunuhan pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, pada Januari 2023.
Baca juga: Bayern terima berita positif mengenai Kompany
Saksi ke-15 plaintif, Khairul Azman Bakar, 49, berkata kedua-dua tindakan pentadbiran itu berkuat kuasa pada 17 Februari 2023 ketika beliau masih berdepan pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau yang mempunyai pengalaman selama 26 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, tindakan berkenaan menjejaskan perjalanan kerjaya, reputasi profesional serta peluang kenaikan pangkatnya.
Katanya, sebelum ditahan, beliau bertugas sebagai Penolong Pegawai Perisikan Operasi IV di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Dalam keterangannya ketika pemeriksaan utama oleh peguam, Kamarudin Mohmad Chinki, beliau berkata, arahan penempatan bawah Jawatan Kontinjensi (Tahan Kerja) turut merekodkan pelucutan pemangkuan pangkat Sarjan Mejar yang diperolehnya pada 2022.
Bagaimanapun ketika pemeriksaan balas oleh Peguam Kanan Persekutuan, Zetty Zurina Kamarudin, saksi bersetuju bahawa pangkat hakikinya dalam PDRM ialah Sarjan, manakala Sarjan Mejar adalah pangkat pemangkuan.
Beliau turut mengaku secara umumnya tiada dokumen yang khusus menyatakan pemangkuan pangkat itu dilucutkan kerana pembabitannya dalam pertuduhan membunuh, namun menegaskan arahan pentadbiran PDRM merekodkan pelucutan pemangkuan pangkat berkenaan.
Saksi juga menjelaskan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai arahan itu ketika berada dalam tahanan, dan mendakwa tidak dimaklumkan mengenainya oleh pihak PDRM.
Beliau berkata, walaupun sudah kembali bertugas selepas dibebaskan daripada pertuduhan itu, pemangkuan pangkat Sarjan Mejar tidak dikembalikan.
Zetty Zurina: Saya katakan kepada kamu bahawa pihak PDRM mempunyai kuasa untuk sama ada mengesahkan atau tidak mengesahkan sesuatu jawatan pegawai atau anggotanya.
Khairul Azman: Saya tidak setuju kerana saya belum disabitkan kesalahan serta telah dibebaskan oleh pihak mahkamah, dan sepatutnya pelucutan ini dikembalikan tetapi pihak PDRM tetap mengekalkan keputusan pelucutan pangkat Sarjan Mejar itu.
Zetty Zurina: Setuju saya katakan kepada kamu bahawa bawah peraturan perkhidmatan awam, pelantikan pemangkuan tidak memberi hak tetap, dan apabila seseorang pegawai dikenakan perintah tahan kerja, sebarang pelantikan pemangkuan sementara terbatal secara automatik atau ditarik balik?
Khairul Azman: Tidak setuju.
Zetty Zurina: Setuju saya katakan bahawa pangkat hakiki kamu yang disahkan dalam PDRM ialah Sarjan?
Khairul Azman: Setuju.
Dalam pada itu, sebaik saja saksi terakhir berkenaan selesai memberi keterangan dan dilepaskan peguam, Kamarudin memaklumkan bahawa pihaknya tiada lagi saksi untuk dipanggil dan menutup kes mereka.
Sementara itu peguam, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, turut memohon supaya direkodkan bahawa plaintif dalam tindakan saman TWU-21NCvC-1-8/2024 menerima pakai semua soalan yang dikemukakan peguam plaintif dalam dua saman lain, iaitu TWU-21NCvC-3-6/2025 dan TWU-21NCvC-4-7/2025, berserta jawapan saksi berkenaan, setakat mana ia relevan dengan kes anak guamnya.
Permohonan itu kemudian direkodkan mahkamah, sebelum Kamarudin memaklumkan bahawa penerimaan yang sama turut terpakai secara timbal balik dan turut direkodkan.
Susulan itu, Zurina memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil saksi-saksi defendan pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada 7 hingga 10 Disember depan.
Mahkamah kemudian memutuskan tarikh perbicaraan yang dijadualkan pada Khamis dan Jumaat dilapangkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd