LATEST
National

Tiada konflik kepentingan penganugerahan kontrak THiJARI RM4.53 juta – Zulkifli

Tiada konflik kepentingan penganugerahan kontrak THiJARI RM4.53 juta – Zulkifli

KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan tiada konflik kepentingan dalam penganugerahan kontrak THiJARI bernilai RM4.53 juta kepada Cyber Village Sdn Bhd pada 2019, kerana pemilik atau pengarah syarikat itu tidak mempunyai hubung kait dengan kepimpinan Tabung Haji (TH).

Baca juga: UMNO Kelantan buat laporan polis terhadap Tony Pua

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata selaras perkembangan teknologi, TH sentiasa berusaha menambah baik penyampaian perkhidmatan supaya lebih mudah diakses oleh masyarakat.

Katanya, perkara itu dapat dicapai dengan pembangunan aplikasi digital dan platform dalam talian THiJARI yang dimanfaatkan oleh majoriti pendeposit TH sejak 2020.

Beliau berkata, kontrak bagi membangunkan sistem yang memerlukan kepakaran khusus itu dibuat secara tender membabitkan penyertaan enam vendor.

“Ia melalui proses perolehan yang bertepatan dengan peraturan perolehan TH, termasuk semakan profil pegangan syarikat bagi mengelak berlaku sebarang konflik kepentingan.

“Kontrak itu dianugerahkan kepada syarikat Cyber Village pada 2019 berdasarkan kriteria teknikal dan merit yang memenuhi keperluan TH, serta menawarkan kos projek yang paling kompetitif.

“Dalam hal ini, tiada konflik kepentingan dalam penganugerahan kontrak kepada syarikat Cyber Village kerana pemilik atau pengarah syarikat terbabit tiada hubung kait dengan kepimpinan TH, dan terpilih melalui tender dengan kos projek yang paling kompetitif,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah TH sudah menjalankan semakan konflik kepentingan terhadap pihak tertentu berhubung kontrak THiJARI bernilai RM4.53 juta yang diberikan kepada Cyber Village pada 2019.

Selain itu, Idris bertanya sama ada dapatan semakan terbabit pernah diaudit atau dilaporkan kepada pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news