LATEST

Mek Seri diselamatkan selepas sukar untuk berjalan

Mek Seri diselamatkan selepas sukar untuk berjalan

alagesh@nst.com.my

Maran: Seekor harimau kumbang dewasa berjaya diselamatkan selepas ditemukan dalam keadaan sukar berjalan di ladang kelapa sawit di Sri Jaya, di sini, kelmarin.

Baca juga: Banjir kilat landa Puncak Alam, Meru

Harimau kumbang betina berusia empat tahun itu diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Malaysia (PERHILITAN) sebelum dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak untuk pemantauan lanjut.

Pengarah PERHILITAN Pahang, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pihak pengurusan ladang memaklumkan penemuan haiwan itu yang dipercayai tidak mampu berjalan seperti biasa.

Katanya, enam anggota PERHILITAN bersama seorang pegawai veterinar kemudian ke ladang berkenaan bagi memeriksa keadaan haiwan liar itu.

“Harimau kumbang yang dinamakan Mek Seri itu berjaya ditangkap dan pemeriksaan awal mendapati ia tidak alami kecederaan serius atau patah tulang. Namun, haiwan itu mengalami kesukaran untuk berjalan seperti biasa.

“Memandangkan tiada kecederaan fizikal dikesan, haiwan seberat 18 kilogram itu dihantar ke NWRC di Sungkai, Perak untuk pemeriksaan lanjut oleh pasukan veterinar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harimau kumbang adalah spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di Semenanjung Malaysia, dengan kehilangan habitat dan pemburuan haram antara ancaman utama terhadap kelangsungan hidupnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news