LATEST

Proton e.MAS dekati pengguna menerusi Oh My Kawan gabungan Awie, Sasi The Don

Proton e.MAS dekati pengguna menerusi Oh My Kawan gabungan Awie, Sasi The Don

lizamridzuan@hmetro.com.my

Baca juga: Mek Seri diselamatkan selepas sukar untuk berjalan

Kuala Lumpur: Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), pengendali jenama kenderaan elektrik (EV) Proton e.MAS, memperluas pendekatan mendekati pengguna menerusi kerjasama dengan industri muzik tempatan melalui penghasilan single terbaharu Oh My Kawan yang menampilkan Sasi The Don dan Datuk Awie.

Ketua Pegawai Penjenamaan PRO-NET, Salawati Mohd Yussof berkata, kerjasama itu membuktikan muzik mampu menjadi medium untuk menghubungkan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan perbezaan generasi.

Katanya, walaupun PRO-NET dan industri muzik bergerak dalam bidang berbeza, kedua-duanya mempunyai persamaan daripada segi penggunaan teknologi, inovasi dan platform digital untuk berhubung dengan masyarakat.

“Dua gaya muzik, dua generasi dan kumpulan peminat berbeza, namun kita berada di sini membuat muzik bersama menerusi Oh My Kawan. Bagi saya, ini adalah mesej yang sangat kuat dan sesuatu yang kami mahu sokong,” katanya pada majlis pelancaran Oh My Kawan di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Salawati berkata, penggabungan elemen berbeza itu turut membantu meluaskan capaian kempen, sekali gus membolehkan lebih ramai masyarakat mengenali bukan sahaja muzik berkenaan, tetapi juga peranan mobiliti dalam kehidupan seharian.

Oh My Kawan diterbitkan secara eksklusif oleh Sony Music Entertainment Malaysia dan Tuff N Loud Worldwide, dengan kerjasama itu turut menggabungkan elemen automotif menerusi kempen Friendship Powered by Proton e.MAS.

Katanya, Malaysia mempunyai banyak bakat dalam bidang teknologi, kejuruteraan automotif, muzik dan industri kreatif yang wajar terus diberi sokongan menerusi kerjasama rentas industri.

“Apabila teknologi, kreativiti dan bakat Malaysia digabungkan, kita boleh menghasilkan sesuatu yang benar-benar istimewa kerana muzik mempunyai keupayaan menghubungkan semua orang tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Menerusi kempen berkenaan, barisan model Proton e.MAS bersama ciri dan teknologi yang ditawarkan turut diketengahkan dalam video muzik rasmi serta kandungan sokongan yang dihasilkan dalam suasana santai dan menghiburkan.

Oh My Kawan boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik utama pada 20 November, manakala video muzik rasmi turut akan ditayangkan menerusi YouTube pada hari sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news