KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh, telus dan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Perak, hari ini.
Baca juga: Sarjan polis dakwa ditahan kerja, pemangkuan pangkat dilucutkan
Perdana Menteri menegaskan tiada sebarang aspek harus diketepikan, supaya keadilan dapat ditegakkan dan memastikan kejadian seumpama itu dapat dicegah daripada berulang.
“Takziah kepada keluarga mangsa. Semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat amat sukar ini,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, malam ini.
Terdahulu, media melaporkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengesahkan seorang pelajar Tingkatan Tiga meninggal dunia di sebuah sekolah di negeri ini, hari ini.
Jabatan itu dipetik berkata, pihaknya menzahirkan perasaan dukacita dan sedang memantau perkembangan insiden berkenaan secara dekat.
© New Straits Times Press (M) Bhd