puterialia@hmetro.com.my
Baca juga: Eain Yow, Sivasangari mara ke suku akhir Terbuka China
BERMULA dengan merakam lagu dalam bilik tidur dan almari, siapa sangka kumpulan indie rock Indonesia, Reality Club ini mampu kekal bertahan selama satu dekad.
Meraikan ulang tahun ke-10, Reality Club muncul dengan konsert 10 Years of Reality Club Live In Kuala Lumpur yang begitu dekat dengan peminat di Zepp, Kuala Lumpur pada 13 November lalu.
Ribuan Goddess Rockstar yang hadir bukan sekadar menonton persembahan bertenaga mereka, tetapi turut merasai emosi dan perjalanan seni yang dibina Reality Club sepanjang 10 tahun.
Vokalisnya, Fathia Izzati meluahkan rasa terharu atas sokongan yang tidak pernah putus daripada peminat setia mereka di Malaysia.
“Kami ialah Reality Club. Saya tidak percaya kami telah berjaya sampai ke tahap ini bersama-sama.
“Siapa yang membesar bersama kami? Siapa yang mendengar lagu Reality Club sejak 2016? Siapa yang baru mendengar lagu kami tahun lalu? Selamat datang dan kami tidak akan mensia-siakan,” katanya.
Gitarisnya, Faiz Novascotia Saripudin pula mengambil kesempatan untuk mengenang kembali penubuhan kumpulan mereka yang bermula dari sebuah rumah.
“Selamat datang ke rumah kelab kita. Kami mula menubuhkan band ini dari sebuah rumah. Anda tahu, kami merakam vokal di bilik tidur dan kami tidak percaya akan hal itu.
“Kami sangat gembira dapat melihat anda semua. Saya tidak sabar untuk menunjukkan kepada anda apa yang telah kami sediakan,” katanya.
Lebih menarik, Reality Club turut menonjolkan dekorasi pentas dengan pelbagai elemen simbolik untuk menunjukkan perjalanan seni kumpulan indie rock itu.
“Jika anda tertanya-tanya mengapa ada bangku taman, mengapa ada pintu, mengapa ada kerusi pengarah dan mengapa ada almari pakaian.
“Ini semua adalah elemen simbolik perjalanan Reality Club sepanjang 10 tahun ini,” kata Faiz lagi.
Selain alunan muzik yang bertenaga, keistimewaan konsert ini menyerlah menerusi komunikasi dua hala antara peminat dan Reality Club.
“Tema pada malam ini adalah tentang mempercayai impian anda. Walaupun nampak klise, tetapi lihat kami. Kami adalah bukti. Berjuang untuk apa yang anda percayai.
“Berjuang untuk visi kehidupan, mungkin jika anda percaya dan bekerja keras, anda boleh mengadakan konsert solo di Kuala Lumpur atau mungkin anda mempunyai impian untuk menjadi seorang diplomat,” kata Fathia sebelum mempersembahkan lagu Now I’m a Diplomat.
Selain Fathia dan Faiz, Reality Club yang turut dianggotai Nugi Wicaksono (bass) dan Era Patigo (dram) mempersembahkan 21 seleksi lagu popular mereka termasuk Elastic Hearts, Alexandra, A Sorrowful Reunion dan Anything You Want.
Konsert anjuran POST dan Katarsis Live itu menutup tirai persembahan dengan dua lagu encore yang cukup bertenaga iaitu Love Epiphany dan 2112.
“Selepas 10 tahun, saya tidak percaya ini adalah lagu yang masih anda kembali dengar. Ini adalah lagu pertama yang pernah kami hasilkan dan ia benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada anda.
“Setiap kali anda mengatakan lagu ini memberi inspirasi kepada anda atau mungkin lagu ini membuatkan anda terus meneruskan kehidupan, kami sentiasa berasa bersyukur,” kata Fathia sebelum mempersembahkan lagu Is It The Answer.
Kesan mendalam yang ditinggalkan Reality Club terletak pada kemampuan mereka menghasilkan karya dekat dengan realiti kehidupan apabila setiap lagu yang dilahirkan mempunyai maksud tersendiri buat pendengar.
Persembahan istimewa berdurasi dua jam tanpa henti ini membuktikan kualiti luar biasa Reality Club sebagai sebuah band indie rock yang disegani sehingga hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd