LATEST

Di mana kedudukan ulama? Apabila AI menjadi tempat bertanya hukum

Di mana kedudukan ulama? Apabila AI menjadi tempat bertanya hukum

Dunia Islam sedang berhadapan dengan satu fenomena baharu yang mengubah landskap pencarian ilmu dan kefahaman agama. Jika suatu ketika dahulu, persoalan hukum agama diajukan kepada ustaz, mufti, alim ulama dan institusi fatwa, kini sebahagian masyarakat lebih selesa menaip persoalan mereka ke dalam ruang perbualan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI). Hanya dengan beberapa patah perkataan, jawapan berkaitan hukum halal dan haram, persoalan ibadah, kekeluargaan, muamalat, bahkan isu akidah boleh diperoleh dalam beberapa saat. Fenomena ini bukan sekadar perubahan teknologi, sebaliknya mencerminkan perubahan besar terhadap hubungan manusia dengan autoriti ilmu agama.

AI kini seolah-olah muncul sebagai ‘ustaz digital’ yang sentiasa tersedia, tidak pernah tidur dan mampu menjawab pelbagai persoalan tanpa perlu seseorang menunggu giliran untuk bertemu guru agama. Namun, di sebalik kemudahan yang mengagumkan ini, timbul persoalan yang jauh lebih besar: sejauh manakah jawapan AI boleh dipercayai dalam menentukan sesuatu hukum syarak? Apakah kedudukan ulama apabila masyarakat mula menjadikan teknologi sebagai rujukan utama dalam memahami agama? Adakah AI bakal mengambil alih peranan ulama atau sekadar menjadi alat bantu yang memperkukuh penyampaian ilmu Islam?

Baca juga: Pemulihan aset 1MDB: SPRM tidak terus kerjasama dengan Bachar Kiwan

Persoalan ini menuntut penelitian yang serius kerana hukum Islam bukan sekadar himpunan maklumat yang boleh dicari, disusun dan dijana oleh algoritma. Ia disiplin ilmu yang berpaksikan wahyu, kefahaman terhadap nas, kaedah istinbat, penguasaan bahasa Arab, maqasid syariah serta pertimbangan terhadap realiti kehidupan manusia. Justeru, kemajuan teknologi tidak seharusnya menyebabkan umat Islam tersilap meletakkan kedudukan antara alat yang menyampaikan ilmu dengan insan berautoriti yang memiliki kelayakan untuk menghuraikan dan menentukan hukum.

AI sebagai revolusi baharu pencarian ilmu agama

Kemunculan AI generatif membawa perubahan yang luar biasa dalam cara manusia memperoleh, memproses dan memahami maklumat. Teknologi seperti ChatGPT, Gemini dan pelbagai aplikasi berasaskan model bahasa besar (Large Language Models) mampu menghasilkan jawapan yang tersusun, menghuraikan dalil, membandingkan pandangan mazhab serta memberikan penerangan terhadap persoalan agama dalam bahasa mudah difahami. Keupayaan ini menjadikan AI sebagai medium alternatif yang semakin mendapat tempat dalam masyarakat, khususnya generasi muda yang membesar dalam persekitaran digital.

Tidak dapat dinafikan, AI mempunyai potensi besar dalam membantu proses pembelajaran Islam. Seseorang yang ingin memahami maksud sesuatu hadis, mengetahui perbezaan pandangan fuqaha atau mendapatkan gambaran awal tentang sesuatu permasalahan fiqh boleh menggunakan teknologi ini sebagai titik permulaan. Malah, AI mampu membantu penyelidik menyaring bahan rujukan, menyusun perbahasan ilmiah dan mengenal pasti isu yang memerlukan penelitian lebih mendalam.

Walau bagaimanapun, keupayaan memberikan jawapan tidak semestinya membuktikan keupayaan memahami kebenaran. AI beroperasi berdasarkan pemprosesan data, corak bahasa dan kebarangkalian menghasilkan respon yang kelihatan meyakinkan. Ia tidak semestinya memahami sesuatu persoalan sebagaimana seorang alim memahami nas, latar belakang hukum dan hikmah pensyariatannya. Lebih membimbangkan, AI boleh menghasilkan maklumat yang kelihatan tepat tetapi sebenarnya mengandungi kesilapan, termasuk petikan hadis yang tidak sahih, rujukan kitab yang tidak tepat dan pandangan hukum yang terpisah daripada konteks asalnya.

Justeru, masyarakat Islam perlu memahami perbezaan antara AI sebagai enjin pencarian maklumat dengan ulama sebagai pewaris tradisi keilmuan yang mempunyai disiplin, kelayakan dan tanggungjawab dalam menjelaskan hukum syarak.

Hukum syarak bukan sekadar jawapan algoritma

Salah satu kesilapan besar dalam memahami penggunaan AI ialah menganggap penentuan hukum agama sebagai proses mendapatkan maklumat dan menyusun jawapan berdasarkan data yang tersedia. Hakikatnya, hukum Islam mempunyai kerangka epistemologi yang tersendiri. Penetapan hukum memerlukan penelitian terhadap al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qiyas, di samping mengambil kira kaedah usul fiqh, maqasid syariah, kaedah fiqh serta realiti kehidupan manusia.

Sesuatu persoalan hukum juga tidak boleh dinilai secara terpisah daripada keadaan individu yang bertanya. Sebagai contoh, persoalan berkaitan talak, kewangan, perubatan, pewarisan dan ibadah tertentu mungkin mempunyai implikasi hukum yang berbeza bergantung pada niat, keadaan, bukti, adat dan latar belakang pihak yang terlibat. Jawapan yang kelihatan mudah pada permukaan mungkin sebenarnya memerlukan penelitian yang panjang dan mendalam.

Di sinilah terletaknya keterbatasan AI. Teknologi ini boleh menyusun pandangan fuqaha, tetapi tidak semestinya mampu menentukan pandangan yang paling sesuai untuk sesuatu keadaan. Ia boleh menyenaraikan beberapa pendapat mazhab, tetapi tidak semestinya mampu melakukan tarjih secara bertanggungjawab dengan mempertimbangkan keseluruhan dalil, kekuatan hujah dan kesan pelaksanaan hukum.

Prinsip ini selari dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl, ayat 43: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

Ayat ini memberikan asas penting persoalan ilmu perlu dirujuk kepada golongan yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran. Dalam konteks hukum Islam, golongan tersebut merangkumi ulama, mufti dan ahli ilmu yang mempunyai kelayakan dalam bidang berkaitan.

Hal ini tidak bermaksud setiap persoalan agama memerlukan fatwa rasmi. Namun, apabila sesuatu isu melibatkan penentuan hukum yang kompleks atau mempunyai implikasi besar terhadap kehidupan, masyarakat tidak seharusnya menyerahkan pertimbangannya kepada sistem automatik semata-mata.

Kedudukan ulama: Autoriti Ilmu yang tidak boleh digantikan

Persoalan utama yang perlu diberikan perhatian ialah kedudukan ulama dalam ekosistem ilmu Islam. Ulama bukan sekadar individu yang mempunyai banyak maklumat tentang agama. Mereka adalah golongan yang melalui proses pendidikan, pengajian, talaqqi, penelitian dan penguasaan disiplin ilmu secara sistematik. Mereka memahami hubungan antara nas dan realiti, mengetahui perbezaan pandangan dalam kalangan fuqaha serta mempunyai keupayaan menilai sesuatu permasalahan berdasarkan prinsip syarak.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Mujadalah, ayat 11: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Kedudukan ilmu dalam Islam bukan sekadar dinilai melalui banyaknya maklumat yang dikuasai, tetapi turut melibatkan kefahaman, pengamalan, amanah dan tanggungjawab menyampaikan kebenaran. Ulama mempunyai dimensi kemanusiaan dan keilmuan yang tidak dimiliki oleh AI. Mereka boleh menilai kesan sesuatu keputusan terhadap individu, keluarga dan masyarakat, selain bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan.

Dalam konteks fatwa, seseorang mufti perlu mempunyai penguasaan terhadap ilmu al-Quran, hadis, bahasa Arab, usul fiqh, kaedah istinbat dan maqasid syariah. Malah, pemahaman terhadap realiti semasa atau fiqh al-waqi’ juga penting agar sesuatu hukum dapat dijelaskan berdasarkan keadaan sebenar.

Pandangan ini memperlihatkan autoriti hukum tidak lahir daripada kepantasan memberikan jawapan, tetapi daripada kelayakan, metodologi dan tanggungjawab terhadap kebenaran. AI mungkin mampu menghasilkan jawapan dalam masa beberapa saat, tetapi ulama mempunyai keupayaan mempertanggungjawabkan sesuatu pandangan berdasarkan disiplin ilmu dan prinsip syarak.

Penulis Ketua Unit Komunikasi Korporat, Politeknik Hulu Terengganu (PHT)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news