LATEST
National

Hijab bukan penghalang Aina ke pentas dunia

Hijab bukan penghalang Aina ke pentas dunia

KUALA LUMPUR: Membawa identiti wanita berhijab ke pentas antarabangsa bukan sekadar misi peribadi penyanyi, Aina Abdul, sebaliknya menjadi manifestasi keberanian membuktikan batas penampilan bukan penghalang untuk mengejar impian dan mencipta sejarah.

Baca juga: 2 kanak-kanak bermain di luar tingkap unit residensi, terdedah risiko jatuh

Aina berkata, penyertaannya dalam Eurovision Song Contest Asia 2026 bersama 10 negara lain bukan hanya untuk mengharumkan nama Malaysia, malah membuka ruang memperkenalkan identiti serta bakat penyanyi tempatan kepada dunia.

Katanya, dia mahu membuktikan wanita berhijab mampu melakukan pelbagai perkara tanpa dibatasi stigma atau persepsi masyarakat, sekali gus menjadi inspirasi kepada golongan berkenaan untuk berani mengejar impian.

“Identiti ini tidak menghentikan saya daripada berani dan tidak menghentikan saya daripada stigma seorang hijabista. Saya percaya saya adalah hijabi pertama yang masuk ke Eurovision dan itu sendiri sudah bersejarah,” katanya dalam kenyataan.

Meskipun menamatkan saingan di tempat keempat dengan 152 mata dan tidak berjaya membawa pulang trofi kemenangan, Aina tetap berpuas hati dengan persembahannya serta bersyukur segala urusan dipermudahkan pada malam kemuncak.

“Berdasarkan persembahan saya tadi, saya rasa sangat bangga. Segala-galanya dipermudahkan oleh Allah, nyanyian saya, lisan saya dan pergerakan pentas saya,” katanya.

Dalam perkongsian di media sosial selepas pertandingan, Aina menjelaskan air mata yang mengalir bukan disebabkan tidak dapat menerima kekalahan atau kecewa terhadap dirinya, sebaliknya kerana mengenangkan harapan tinggi insan di sekeliling yang diletakkan di bahunya.

Penyanyi itu turut merakamkan penghargaan kepada guru vokalnya, Datuk Syafinaz Selamat, atas bimbingan berterusan sepanjang persiapan yang membantunya lebih bebas dan yakin dalam penyampaian vokal.

Aina turut menghargai sokongan peminat yang sanggup ke Bangkok untuk menyaksikan pertandingan itu secara langsung, selain mereka yang mengikuti perjalanan persembahannya dari tanah air.

Katanya, setiap pengorbanan masa dan wang ringgit peminat amat bermakna, malah menjadi pembakar semangat untuk terus berkarya dan melangkah ke fasa seterusnya dalam perjalanan seninya.

“Kalau nak menangis dengan saya, jangan menangis lama-lama. Saya seorang pejuang dan tidak sabar untuk kembali ke Malaysia bagi fasa seterusnya, album baharu, konsert baharu, semuanya baharu,” katanya.

Pengalaman di Eurovision Asia 2026 turut melengkapkan siri penceritaan empat elemen Aina yang bermula menerusi lagu Terus Hidup, dengan elemen udara, tanah dan api sebelum diakhiri elemen air menerusi Bluest Sky.

Perjalanan itu sekali gus memperlihatkan komitmen Aina dan pasukan kreatif tempatan dalam menghasilkan karya berkualiti serta membawa bakat Malaysia ke pentas antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news