LATEST
National

Ahli, institusi agama perlu perkasa ummah depani kecerdasan super

Ahli, institusi agama perlu perkasa ummah depani kecerdasan super

DUNIA sedang menyaksikan anjakan paradigma dalam sejarah peradaban manusia moden, iaitu kemajuan kecerdasan super atau Super Intelligence (SI).

Baca juga: Pelajar maut di sekolah Perak: PM mahu siasatan menyeluruh, telus, segera

Tatkala masih ramai terkial-kial memahami dan menguasai kecerdasan buatan (AI), dunia mengorak langkah menuju era baharu.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani perintah eksekutif pada 29 September 2026, Inaugurating the Era of Super Intelligence. Anjakan rasmi daripada istilah konvensional AI kepada SI membawa mesej kita bukan sekadar bercakap mengenai alat bantu automasi konvensional, malah melangkah ke era sistem berautonomi tinggi berupaya meniru, memperluas dan melipatgandakan daya fikir serta kreativiti manusia.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), SI merujuk kepada sistem komputer berkebolehan melakukan tugas kompleks kebiasaannya dilakukan melalui proses berfikir secara logik dan rasional oleh manusia.

Dalam perkembangan lain, Tesla baru-baru ini, memperkenal kereta sport Roadster terbaharu didakwa mampu terbang dan memecut dengan kelajuan sifar hingga 97 kilometer (km) sejam kurang dari satu saat. Kereta ini menggunakan teknologi jet cold gas thrusters dikembangkan SpaceX. Dalam demonstrasi ditayangkan secara langsung menunjukkan ia mempunyai keupayaan unik menyerupai ‘kereta terbang’.

Timbul persoalan kemajuan teknologi dan era SI ini, apakah peranan Muslim mendepani realiti kompleks ini?

Justeru, saya mengajak semua, khususnya institusi Islam dan agensi agama termasuk ahli agama mengambil perhatian perkembangan ini. Apabila minda terdedah dengan perkara lebih penting dan besar, daya, fikiran dan tumpuan kita tidak akan disia-siakan pada perkara ranting dan cabang yang merugikan.

Mungkin ramai tidak mengikuti perkembangan teknologi seperti post-quantum cryptography, quantum computing dan SI. kriptografi pasca-kuantum ialah pendekatan keselamatan siber direka khas untuk melindungi data daripada ancaman komputer kuantum masa depan. Teknologi komputer kuantum berupaya memecahkan sistem keselamatan digunakan pada perbankan, komunikasi, kerajaan dan data peribadi hari ini.

Negara maju seperti AS sudah bersedia awal dengan meluluskan undang-undang khas, iaitu Quantum Computing Cybersecurity Preparedness Act pada Disember 2022.

Perintah Eksekutif, ‘Securing the Nation Against Advanced Cryptographic Attacks’ dilancarkan pada 22 Jun 2026 dengan garis masa penghijrahan sistem selewat-lewatnya pada penghujung 2030 dan 2031.

AS juga melaksanakan perjanjian keselamatan ‘Joint Commitment on Frontier Responsibilities’ ditandatangani bersama beberapa eksekutif industri teknologi terkemuka bagi menetapkan kawalan dan keselamatan sistem terbabit.

Walaupun AS dan China bersaing rapat perihal teknologi dan ekonomi serta pengaruh, mereka sudah bersetuju mengadakan persidangan atau dialog mengenai SI pada tahun ini berikutan pertemuan rasmi antara Trump dengan Presiden China, Xi Jinping di Washington pada September 2026.

Kita semua bernasib baik kerana kerajaan Malaysia sudah melakukan persediaan sebaiknya. Satu laporan diterbitkan SITG-Consulting sebuah firma penasihat berpangkalan di United Kingdom (UK) yang mempunyai kepakaran dalam risiko siber, tadbir urus kriptografi, kesiapsiagaan PQC menunjukkan Malaysia satu-satunya negara ASEAN mencapai tahap tertinggi Tier 1 dalam kesiapsiagaan penghijrahan kepada kriptografi pasca-kuantum.

Ini membuktikan kejayaan pelbagai inisiatif strategik kerajaan memastikan data, sistem dan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) kekal selamat serta berdaya tahan daripada ancaman teknologi pengkomputeran kuantum. Namun, Malaysia tidak boleh cepat berasa selesa. Dalam dunia yang serba pantas dan serba mungkin ini, kita seharusnya sentiasa bersiap siaga.

Persiapkan diri, perkasa ummah

Umat Islam perlu mempersiapkan diri dan memperkasa ummah, sama ada kekuatan rohani dan material, kemampuan intelektual dan minda saintifik serta merapatkan saf dalam menghadapi ancaman luar. Cukup-cukuplah kita bertelagah soal ranting yang tidak membawa kita ke mana-mana atau mempertajam perselisihan sesama kita, sama ada disebabkan politik, aliran pemikiran mahupun semangat kenegerian.

Sejarah kegemilangan tamadun Islam di Andalusia membuktikan penguasaan ilmu asas penting membangunkan peradaban. Kota Cordoba berkembang sebagai pusat keilmuan menghimpunkan pengajian agama, perubatan, matematik, astronomi dan falsafah. Sokongan terhadap ilmuwan, perkembangan perpustakaan serta budaya membaca dan penyelidikan menyuburkan kegiatan intelektual yang menyumbang perkembangan ilmu di Eropah.

Andalusia melahirkan tokoh seperti al-Zahrawi yang memberikan sumbangan besar dalam bidang pembedahan dan peralatan perubatan serta al-Zarqali memajukan bidang astronomi dan instrumen cerapan. Ibnu Rushd pula menguasai bidang fiqh, falsafah dan perubatan. Ketokohan mereka mencerminkan keluasan tradisi keilmuan Islam serta kesungguhan meneroka ilmu untuk memahami alam dan memenuhi keperluan manusia.

Ibrah daripada kegemilangan ini ialah kemajuan memerlukan budaya ilmu dipupuk berterusan. Institusi Islam dan agensi agama boleh mengambil peranan proaktif mempersiapkan masyarakat dengan perkembangan teknologi dalam era SI ini.

Ia boleh dimulakan dengan memperkukuh kerjasama bersama universiti, pusat penyelidikan dan industri teknologi. Usaha ini boleh diterjemahkan melalui peningkatan literasi teknologi dalam kalangan ahli agama, pembangunan bakat muda serta penyelidikan bersama yang menangani keperluan masyarakat berpandukan nilai dan etika Islam.

Ahli dan institusi agama perlu lebih aktif menanamkan semangat dan kecintaan masyarakat kepada ilmu pengetahuan. Ceramah, syarahan, kuliah dan program ilmu mesti dihidupkan, bukan lagi berkisar soal khilaf atau perkara merugikan, tetapi memfokuskan pembinaan peradaban dan ketamadunan. Ahli agama perlu mengambil tahu dan mengikuti secara dekat perkembangan dunia sains dan teknologi. Masyarakat sangat dahagakan bimbingan dan panduan ahli agama mengenai penggunaan teknologi terkini dalam era SI.

Semangat Andalusia dan La Convivencia perlu dihidupkan melalui keberanian meneroka ilmu serta kesungguhan membangunkan kepakaran. Ahli dan institusi agama boleh membangunkan serta memantapkan penguasaan ilmu turath dan ilmu kontemporari agar umat Islam dapat menyumbang kepada kemajuan sains dan teknologi dan juga panduan menggunakannya dengan beretika dan manusiawi.

Era SI tidak boleh dielakkan. Malaysia mempunyai ramuan cukup, iaitu keamanan, kekayaan sumber asli, lokasi strategik dan sumber manusia. Oleh itu, kesediaan kita menggalas tugas besar, demi agama dan demi kemanusiaan sejagat.

Allah SWT memuji golongan berfikir atau ulul albab yang sentiasa tafakkur (fikir), tadabbur (meneliti) dan taaqul (menjiwai). Perkataan akal dalam al-Quran ada 50 kali dalam pelbagai surah, manakala suruhan untuk berfikir lebih kurang 700 tempat dan perkataan ulul albab disebut 16 kali.

Ahli tafsir, Maulana Amin Ahsan Islahi menulis: “Sungguh ironik sekali, mengenangkan al-Quran sebagai kitab yang cukup menekankan tanggungjawab berfikir, tetapi al-Quran itu sendiri mungkin satu-satunya buku yang dibaca tanpa penekanan dan perhatian serius terhadap mesej ingin disampaikan.

“Biasanya, kebanyakan orang apabila hendak membaca suatu buku, mereka akan mempersiapkan diri untuk memahami isi kandungannya. Namun tatkala mereka menyelak halaman al-Quran, mereka menutup pintu akal mereka dan hanya membaca tanpa faham suatu apa pun,” tulisnya.

Penulis adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news