LATEST

Ibu, anak berganding bahu di bilik pembedahan, kongsi kepakaran

Ibu, anak berganding bahu di bilik pembedahan, kongsi kepakaran

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Ikatan kekeluargaan antara ibu dan anak bukan sahaja terjalin erat di rumah, malah turut menjadi satu keunikan apabila kedua-duanya berkhidmat dalam bidang perubatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian.

Baca juga: Marquez intai gelaran dunia ke-10 di Portimao

Lebih menarik, tugas dan kepakaran masing-masing adakalanya menemukan mereka dalam bilik pembedahan dan situasi berkenaan pastinya menjadi pengalaman tersendiri buat kedua-duanya apabila hubungan ibu dan anak turut disatukan melalui tanggungjawab profesional dalam dunia perubatan.

Prof Dr Shatriah Ismail, 56, yang juga pakar mata kanak-kanak di hospital itu berkata, anak sulungnya, Dr Nik Luqmanul Hakim Nik Ahmad Zuky, 31, turut berkhidmat di situ sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Anestesiologi.

Katanya, situasi itu turut memberikan kegembiraan kepadanya apabila berpeluang bertugas bersama anaknya memandangkan kebiasaannya jadual kerja pakar perubatan ditentukan mengikut giliran dan kepakaran masing-masing.

“Walaupun kami mempunyai bidang kepakaran dan tanggungjawab berbeza, namun peluang bekerja di bawah satu bumbung selain sesekali bekerjasama dalam prosedur pembedahan menjadi satu pengalaman cukup bermakna.

“Saya menjalankan prosedur pembedahan mata, sementara anak pula bertanggungjawab mengendalikan pembiusan serta memastikan keselamatan pesakit bawah pengawasan Pakar Anestesiologi sepanjang prosedur berlangsung.

“Keadaan ini bukan sahaja membolehkan kami memahami tuntutan serta cabaran kerjaya masing-masing, malah secara tidak langsung mewujudkan ruang untuk saling berkongsi pengalaman, pengetahuan dan pandangan dalam bidang perubatan,” katanya.

Beliau berkata, meskipun mempunyai peranan dan tanggungjawab berbeza, mereka berkongsi matlamat sama, iaitu memberikan rawatan terbaik kepada pesakit selain memastikan setiap prosedur pembedahan berjalan lancar dan selamat.

“Kepakaran dalam bidang oftalmologi, khususnya rawatan mata juling, memerlukan ketelitian serta pengalaman bagi membantu pesakit meningkatkan fungsi penglihatan sekali gus memperbaiki kualiti hidup mereka.

“Dalam pada itu, tugas anak saya sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Anestesiologi pula menuntut tahap profesionalisme, ketenangan dan kecekapan yang tinggi bagi memastikan keselamatan pesakit sentiasa terpelihara sebelum, semasa dan selepas pembedahan,” katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata ini berkata, meskipun mempunyai pertalian kekeluargaan dan bekerja di bawah satu bumbung, aspek profesionalisme tetap menjadi keutamaan ketika menjalankan tugas, tanpa membiarkan hubungan peribadi mempengaruhi tanggungjawab masing-masing.

“Apabila berada di tempat kerja, kami perlu bersikap profesional dan mengetepikan perasaan peribadi bagi memastikan setiap tugasan, khususnya berkaitan rawatan serta prosedur pembedahan, dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat demi kepentingan pesakit,” katanya.

Dr Shatriah turut bersyukur dan gembira apabila anak yang suatu ketika dahulu masih kecil dan dihantar ke sekolah, kini sudah dewasa serta berpeluang bekerja bersama-sama dengannya.

“Situasi ini adalah satu impian yang akhirnya menjadi kenyataan, apatah lagi apabila dapat melihat anak turut mengikuti jejak langkah dalam bidang perubatan,” katanya.

Beliau berkata, selain anak sulungnya, tiga lagi anaknya turut menceburi bidang perubatan iaitu Dr Syamim Firdaus, 30, sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang kepakaran Obstetrik dan Ginekologi (O&G).

“Dr Nik Zahid Asyraf, 25, baharu sahaja menamatkan pengajian dalam bidang perubatan, manakala anak bongsunya, Nik Aimi Munirah, 23, masih mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di universiti awam di Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news