Munich: Munich selangkah lebih hampir untuk memperkenalkan teksi tanpa pemandu di jalan rayanya menerusi pelancaran projek rintis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Baca juga: AG, Hannah tak setuju bukan derhaka! Peguam perjelas isu Lembaga Pengampunan
Kerjasama antara platform e-panggilan Uber dan pakar kecerdasan buatan (AI) dari China, Momenta, itu bermula pada Rabu berhampiran Stadium Olimpik Munich.
Pengguna terpilih yang menempah perjalanan di bahagian utara Munich menerusi pilihan UberX, Electric atau Comfort kini boleh dipadankan dengan kenderaan autonomi yang membolehkan penumpang naik dan turun di hentian ditetapkan.
Perkhidmatan itu ditawarkan secara percuma pada peringkat awal. Seorang pegawai keselamatan berada di dalam kenderaan bagi setiap perjalanan, namun hanya akan campur tangan untuk mengambil alih kawalan dalam keadaan luar biasa. Langkah ini adalah berdasarkan kelulusan ujian Tahap 4 daripada Pihak Berkuasa Pengangkutan Bermotor Jerman.
Munich terus mengukuhkan peranannya sebagai tapak ujian paling penting di Eropah bagi pelaksanaan praktikal kenderaan autonomi.
Syarikat sekutu Google, Waymo, berharap dapat melancarkan perkhidmatan pengangkutan tanpa pemandu secara berjadual menjelang akhir 2027. Penumpang juga sudah mula menaiki bas elektrik autonomi di laluan bas tetap di Munich sebagai sebahagian daripada ujian awal.
Bagaimanapun, ketika ujian di sini masih dijalankan bersama pemandu keselamatan, teksi tanpa pemandu sepenuhnya sudah lama menjadi pemandangan biasa di jalan raya di beberapa bahagian lain dunia.
Di bandar raya Amerika Syarikat (AS) seperti San Francisco, Phoenix, Los Angeles dan Austin, Waymo mengendalikan rangkaian kenderaan komersial tanpa pemandu keselamatan.
Di China, Beijing, Wuhan dan Guangzhou telah lama menawarkan perkhidmatan e-panggilan berjadual melalui aplikasi tanpa manusia di tempat duduk pemandu.
Di Eropah, sebuah projek di ibu negara Croatia, Zagreb, sudah pun menguji perjalanan tanpa pemandu keselamatan di laluan menuju ke lapangan terbang.
© New Straits Times Press (M) Bhd