Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijadual ke Penjara Kajang pada Jumaat, 20 November, untuk menunaikan solat Jumaat sebelum kembali ke penjara itu pada Sabtu bagi mengikuti kelas mengaji al-Quran dan sesi kaunseling.
Memetik laporan Berita Harian, menurut sumber, Jabatan Penjara sudah membuat persiapan bagi solat Jumaat, manakala kelas mengaji dan sesi kaunseling dijadual berlangsung pada hari berikutnya.
Baca juga: Polis sahkan lelaki maut ditembak di Ipoh
“Jabatan Penjara sudah membuat persiapan untuk beliau menunaikan solat Jumaat di surau penjara.
‘Pada keesokan harinya, beliau dijadual menghadiri kelas mengaji al-Quran dan sesi kaunseling di penjara,” katanya.
Pada 13 November lalu, Najib turut menunaikan solat Jumaat di Masjid Penjara Kajang. Menurut Jabatan Penjara Malaysia, pergerakan beliau pada hari itu turut melibatkan pemeriksaan kesihatan, pengajian al-Quran dan sesi kaunseling. Kesemua urusan tersebut dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta syarat tahanan rumah.
Najib menjalani baki hukuman bagi kes SRC International di kediamannya di Jalan Langgak Duta selepas denda RM50 juta diselesaikan. Tempoh tahanan rumahnya ditetapkan sehingga 23 Ogos 2028.
Foto: Berita Harian
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman di rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat lain. Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-64.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mensabitkannya atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Sabitan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022. Hukuman penjaranya kemudian dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda diturunkan kepada RM50 juta.
Sumber: Berita Harian