KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan baharu di Malaysia menyusut tujuh peratus kepada 70,519 unit pada Oktober 2026 berbanding 75,991 unit dalam tempoh sama tahun lalu, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Baca juga: Lelaki dipercayai penjenayah ditembak mati
Penurunan itu disebabkan jualan kenderaan penumpang dan perdagangan yang masing-masing merosot tujuh peratus dan sembilan peratus.
MAA berkata, namun prestasi jualan industri automotif menunjukkan peningkatan 1.3 peratus berbanding September lalu, didorong pertumbuhan dalam kedua-dua segmen berkenaan.
“Jualan kenderaan penumpang meningkat empat peratus secara bulanan, manakala kenderaan perdagangan mencatat pertumbuhan lapan peratus.
“Pemulihan permintaan terhadap kenderaan perdagangan turut disokong jualan trak pikap yang mencecah 3,740 unit, paras tertinggi direkodkan sepanjang tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut MAA, sokongan kerajaan menerusi program BUDI Diesel juga membantu merangsang pemulihan segmen kenderaan perdagangan.
“Bagi tempoh 10 bulan tahun ini, jumlah jualan keseluruhan industri meningkat tiga peratus kepada 673,412 unit berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Prestasi itu disokong pertumbuhan empat peratus dalam segmen kenderaan penumpang, meskipun jualan kenderaan perdagangan masih menguncup 12 peratus,” katanya.
Sementara itu, pengeluaran kenderaan pada Oktober meningkat tiga peratus kepada 67,416 unit, disumbangkan pertumbuhan dalam segmen kenderaan penumpang, manakala pengeluaran kenderaan perdagangan menyusut lima peratus.
Secara keseluruhan, pengeluaran kenderaan bagi tempoh Januari hingga Oktober meningkat dua peratus kepada 629,623 unit berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Mengulas prospek industri, MAA menjangkakan momentum peningkatan jualan akan berterusan pada
November, disokong prospek ekonomi yang positif serta promosi jualan menjelang akhir tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd