LATEST

Helah guna nama rakyat Thailand, pengarah syarikat China masuk penjara

Helah guna nama rakyat Thailand, pengarah syarikat China masuk penjara

Bangkok: Pengarah sebuah syarikat pembinaan warga China yang terbabit dalam projek pembinaan ibu pejabat Pejabat Audit Negara (SAO) Thailand yang runtuh, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda satu juta baht (kira-kira RM130,000) kerana menggunakan pemegang saham penama bagi mengelak sekatan pemilikan asing di negara itu.

Baca juga: ‘Dua gol buat Harimau Malaya satu penghormatan’

Mahkamah Jenayah di sini pada Rabu turut menjatuhkan hukuman penjara terhadap tiga pemegang saham warga Thailand yang membantu pengaturan berkenaan, selain mengarahkan syarikat itu menghentikan operasinya di Thailand.

China Railway No 10 (Thailand) Co Ltd, syarikat usaha sama yang terbabit dalam pembinaan ibu pejabat SAO setinggi 33 tingkat yang runtuh didapati menggunakan pemegang saham warga Thailand bagi menyembunyikan pemilikan asing.

Mahkamah turut memerintahkan syarikat itu menghentikan operasinya di Thailand.

Pendakwaan oleh Bahagian Kes Khas 5 menamakan syarikat itu sebagai defendan pertama, pengarahnya yang diberi kuasa, Zhang Chuanling sebagai defendan kedua, serta tiga warga Thailand iaitu Sophon Meechai (defendan ketiga), Prajuab Sirikhet (defendan keempat) dan Manat Srianan (defendan kelima).

Zhang didakwa menjalankan perniagaan yang dilarang kepada warga asing tanpa kebenaran mengikut Senarai Tiga (10) Akta Perniagaan Asing yang meliputi sektor pembinaan.

Tiga defendan warga Thailand pula didakwa bersubahat dan membantu warga asing mengelak sekatan berkenaan.

Kes itu turut menyentuh pembabitan syarikat berkenaan dalam pembinaan ibu pejabat SAO yang runtuh pada 28 Mac 2025 sehingga mengorbankan dan mencederakan ramai pekerja.

Ia juga membabitkan kes jenayah berasingan terhadap bekas pengerusi eksekutif Italian-Thai Development Plc, Premchai Karnasuta yang masih dalam peringkat perbicaraan.

Mahkamah dimaklumkan bahawa syarikat bermodal berdaftar 100 juta baht (kira-kira RM13 juta) itu melantik Zhang sebagai pengarah eksekutif pada Oktober 2018 sebelum beliau ditahan pada 19 April 2025 manakala defendan ketiga hingga kelima mengaku bersalah sepanjang perbicaraan, berbeza dengan Zhang dan syarikat berkenaan yang menafikan pertuduhan.

Sementara itu, defendan ketiga hingga kelima mengaku bersalah sepanjang perbicaraan, berbeza dengan Zhang dan syarikat berkenaan yang menafikan pertuduhan.

Mahkamah menolak hujah syarikat itu bahawa ia tidak memperoleh kontrak pembinaan bangunan SAO sebaliknya mahkamah mendapati aktiviti pembinaan sememangnya menjadi objektif utama syarikat sejak penubuhannya selain mengesahkan syarikat itu dimiliki China Railway Number Ten menerusi bukti pemilikan saham yang disembunyikan.

Mahkamah turut mendapati Zhang mempunyai kuasa penuh untuk menandatangani kontrak pembinaan dan penyata kewangan sejak 2018. Tindakan defendan ketiga hingga kelima menyalahgunakan kewarganegaraan Thailand demi kepentingan peribadi pula disifatkan sebagai tidak jujur dan menjejaskan kepentingan syarikat tempatan.

Mahkamah menolak alasan bahawa Zhang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan membayar sejumlah pampasan kepada mangsa sebagai faktor untuk meringankan hukuman.

Mahkamah turut menegaskan hukuman berat wajar dikenakan walaupun tiga defendan warga Thailand mengaku bersalah selepas berdepan bukti pendakwaan.

Kesemua lima defendan didapati bersalah mengikut Akta Perniagaan Asing. Syarikat berkenaan didenda satu juta baht (kira-kira RM130,000) manakala Zhang dijatuhui hukuman penjara tiga tahun dan denda satu juta baht (kira-kira RM130,000) mengikut Seksyen 41 dan 47 akta berkenaan.

Selepas pengurangan hukuman satu perlima susulan pengakuan bersalah mengikut Seksyen 36 dan 41, Sophon dan Manat masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun, sembilan bulan dan 18 hari serta denda 1.6 juta baht (kira-kira RM208,000) manakala Prajuab pula dipenjara dua tahun, empat bulan dan 24 hari serta didenda 800,000 baht (kira-kira RM104,000).

Mahkamah turut memerintahkan syarikat itu menghentikan operasi dan mengarahkan ketiga-tiga defendan warga Thailand menyerahkan saham masing-masing.

Bagaimanapun, hukuman penjara Prajuab hanya akan bermula selepas dia selesai menjalani hukuman penjara tiga tahun bagi kes rasuah berasingan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news