SHAH ALAM – Amerika Syarikat (AS) mengumumkan dua kerjasama strategik dengan Malaysia membabitkan pembekalan arang batu bernilai AS$100 juta (RM411 juta) kepada TNB Fuel Services dan pembangunan infrastruktur awan berdaulat berasaskan teknologi kecerdasan super (SI) untuk kerajaan Malaysia.Presiden AS, Donald Trump mengumumkan kedua-dua inisiatif itu menerusi kenyataan rasmi White House selepas lawatan dua hari beliau ke Filipina dan Sidang Kemuncak ASEAN.Menerusi perjanjian pertama, syarikat tenaga AS, Navajo Transitional Energy Company (NTEC) menandatangani perjanjian selama tiga tahun bagi membekalkan arang batu dari lombong miliknya di selatan Montana kepada TNB Fuel Services iaitu anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB).Perjanjian bernilai AS$100 juta itu mencerminkan kerjasama perdagangan antara kedua-dua negara, khususnya dalam sektor tenaga.Selain itu, sebuah konsortium syarikat AS akan membangunkan infrastruktur awan berdaulat berasaskan teknologi Super Intelligence (SI) untuk kegunaan kerajaan Malaysia.Projek berkenaan akan difasilitasi menerusi inisiatif US-ASEAN SI SPARK sebagai sebahagian daripada usaha memperluas penggunaan teknologi SI AS di rantau Asia Tenggara.Langkah itu juga mencerminkan peluasan kerjasama Malaysia-AS dalam bidang teknologi digital, selain mengukuhkan kedudukan syarikat dan teknologi AS sebagai penyedia teknologi yang dipercayai di peringkat global.
AS bekal arang batu AS$100 juta, bangunkan awan berdaulat untuk Malaysia – Trump
Malay News | https://www.malay.news/as-bekal-arang-batu-as100-juta-bangunkan-awan-berdaulat-untuk-malaysia-trump/