KUALA LUMPUR: Big Caring Group Bhd menjangkakan perniagaan yang diperoleh menerusi aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) mampu mencatat pertumbuhan dua angka yang kukuh, seiring usaha kumpulan memperluas operasi dan meneroka pasaran baharu.
Baca juga: Terkini! Rakaman CCTV Kes Kematian Pelajar SBP Tingkatan Tiga Sudah Di Tangan Polis
Langkah itu termasuk cadangan pengambilalihan syarikat pengedaran bekalan perubatan berpangkalan di Singapura, Yeap Medical Supplies Pte Ltd (YMS), yang bakal menjadi langkah pertama kumpulan mengembangkan perniagaan ke luar negara.
Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas Big Caring, Livia Chan Lih Wen, berkata kumpulan sentiasa menyasarkan pertumbuhan dua angka yang tinggi bagi setiap perniagaan yang diambil alih, sejajar keyakinan pengasas dan pihak pengurusan terhadap potensi syarikat berkenaan.
“Bagaimanapun, pengambilalihan YMS masih berskala kecil berbanding keuntungan kumpulan ketika ini, dengan perniagaan itu mencatat keuntungan bersih beberapa juta dolar Singapura.
“Namun, bagi setiap pengambilalihan yang dilakukan, kami sentiasa menjangkakan pertumbuhan dua angka yang tinggi. Pihak pengurusan yakin sasaran itu mampu dicapai.
“Cadangan pengambilalihan YMS dijangka selesai menjelang akhir November atau awal Disember ini, sekali gus menjadi langkah pertama kumpulan memasuki pasaran luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penyenaraian Big Caring di Pasaran Utama Bursa Malaysia, di sini, hari ini.
Menerusi transaksi itu, Big Caring akan mengambil alih 96 peratus pegangan dalam YMS, sebuah syarikat pemborong dan peruncit bekalan perubatan di Singapura, menerusi tiga peringkat.
Peringkat pertama membabitkan pengambilalihan 76 peratus pegangan pada anggaran nilai AS$16 juta (RM50.8 juta), manakala baki pegangan akan diperoleh secara berperingkat selepas itu.
YMS mengedarkan bekalan perubatan kepada rumah jagaan, hospital dan klinik di Singapura.
Big Caring memilih segmen pengedaran sebagai langkah awal untuk membina kehadiran dan mengembangkan perniagaannya di negara itu.
Sementara itu, saham Big Caring dibuka pada RM1.05 sesaham pada hari pertama dagangannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia, iaitu tiga sen atau 2.78 peratus lebih rendah berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM1.08 sesaham.
Big Caring adalah syarikat kedua terbesar dari segi nilai IPO selepas Sunway Healthcare Holdings Bhd, yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada Mac lalu dengan penilaian IPO sebanyak RM16.68 bilion.
Hadir sama pada sidang media itu ialah Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Big Caring, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Big Caring, Lee Meng Chuan, berkata kumpulan menyasarkan pertumbuhan jualan kedai setara (SSSG) antara tujuh hingga sembilan peratus, disokong peningkatan kesedaran kesihatan pengguna serta permintaan berterusan terhadap produk farmaseutikal dan penjagaan kesihatan.
Meng Chuan berkata, kumpulan turut merekodkan pertumbuhan SSSG sebanyak 8.3 peratus pada suku pertama tahun kewangan 2027.
“Kemampuan menawarkan ubat-ubatan pada harga berpatutan kekal sebagai antara nilai utama kumpulan, selain usaha meningkatkan kecekapan operasi bagi mengurus tekanan kos dan mengekalkan daya saing harga.
“Dalam pada itu, Big Caring turut meneruskan rancangan membuka antara 40 hingga 50 farmasi baharu setiap tahun, dengan pemilihan lokasi dibuat berdasarkan potensi pasaran dan analisis data, tanpa menetapkan kuota pembukaan mengikut negeri atau wilayah,” katanya.
Beliau berkata, pembukaan cawangan baharu akan dibiayai menggunakan dana dalaman berdasarkan aliran tunai kumpulan, manakala pembiayaan luaran lebih tertumpu kepada urus niaga pengambilalihan berskala besar.
Sementara itu, Lih Wen berkata, kira-kira 93 peratus hasil kumpulan ketika ini disumbangkan oleh segmen peruncitan.
Bagaimanapun, integrasi perniagaan pengedaran dan pembuatan farmaseutikal memberikan kelebihan kepada kumpulan dari segi mendapatkan bekalan serta mengurus kos.
“Produk keluaran sendiri yang dibekalkan ke rangkaian farmasi kumpulan ketika ini masih kurang daripada 10 peratus, sekali gus membuka ruang untuk meningkatkan penggunaan produk buatan sendiri dan memperluas jualan kepada pihak ketiga,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan juga sentiasa meneliti peluang pengambilalihan dalam sektor penjagaan kesihatan, merangkumi segmen huluan, pertengahan dan hiliran, dengan memberi tumpuan kepada potensi sinergi serta pembangunan jangka panjang perniagaan yang diperoleh.
© New Straits Times Press (M) Bhd