LATEST

Untung bersih CelcomDigi melonjak kepada RM1.24 bilion

Untung bersih CelcomDigi melonjak kepada RM1.24 bilion

zahrin@mediaprima.com.my

Baca juga: Keputusan di APEC penentu daya tahan, kemakmuran ekonomi rantau Asia Pasifik – Anwar

Kuala Lumpur: CelcomDigi Bhd merekodkan lonjakan hasil perkhidmatan dan keuntungan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9M FY2026).

Prestasi positif itu didorong pertumbuhan segmen pascabayar, Home & Fibre serta perniagaan perusahaan, selain penjimatan kos operasi.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty berkata, hasil perkhidmatan syarikat telekomunikasi itu meningkat 1.5 peratus kepada RM8.194 bilion bagi tempoh berakhir 30 September 2026, berbanding RM8.076 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pula meningkat 3.8 peratus kepada RM2.16 bilion, berbanding RM2.08 bilion pada 9M FY2025, disokong pertumbuhan hasil perkhidmatan, pengurangan perbelanjaan operasi serta pengurusan kos yang berdisiplin.

Keuntungan selepas cukai (PAT) katanya meningkat 5.4 peratus kepada RM1.24 bilion, berbanding RM1.177 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, mencerminkan prestasi operasi lebih kukuh serta pengurangan perbelanjaan susut nilai dan pelunasan.

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 pula, CelcomDigi mencatat hasil keseluruhan RM3.306 bilion, meningkat 5.8 peratus berbanding RM3.125 bilion pada suku sama tahun lalu.

“Hasil perkhidmatan bagi suku dikaji turut meningkat 1.4 peratus kepada RM2.767 bilion, manakala EBIT ternormal meningkat 11 peratus kepada RM719 juta dan PAT ternormal melonjak 18 peratus kepada RM413 juta berbanding suku ketiga tahun lalu.

“kumpulan berjaya melaksanakan strategi memberi tumpuan kepada pertumbuhan hasil, kecekapan kos serta usaha integrasi, selain terus meningkatkan nilai kepada pelanggan melalui penawaran inovatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, pertumbuhan hasil perkhidmatan CelcomDigi terus didorong pelaksanaan komersial yang berdisiplin merentasi portfolio produk teras syarikat, dengan tumpuan turut diberikan kepada peluang pertumbuhan baharu secara lebih cekap.

Malah program kecemerlangan operasi (OE) CelcomDigi mencatat penjimatan RM141 juta pada suku ketiga, menjadikan jumlah penjimatan terkumpul bagi sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak RM282 juta, melebihi sasaran ditetapkan.

Penjimatan itu diperoleh melalui penyatuan pelbagai platform operasi serta usaha meningkatkan kecekapan kos secara struktur, sekali gus menyokong prestasi kewangan dan transformasi perniagaan syarikat.

CelcomDigi turut mencatat pertumbuhan dalam segmen pascabayar dengan hasil meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun kepada RM1.1 bilion, manakala jumlah pelanggan bertambah tiga peratus atau 179,000 kepada 6.2 juta pelanggan.

Segmen Home & Fibre pula merekodkan pertumbuhan hasil sebanyak 33 peratus kepada RM98 juta, dengan jumlah pelanggan meningkat 28 peratus atau 72,000 kepada 332,000, didorong penambahan pelanggan perkhidmatan gentian dan akses tanpa wayar tetap (FWA).

Perniagaan perusahaan turut menunjukkan momentum positif apabila hasil meningkat 10.4 peratus tahun ke tahun kepada RM301.3 juta, disokong pertumbuhan perkhidmatan sambungan termasuk Managed Fibre, Fixed dan Machine-to-Machine (M2M), selain sumbangan lebih tinggi daripada penyelesaian perniagaan.

CelcomDigi menutup suku ketiga dengan jumlah pelanggan sebanyak 20.2 juta dan mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak 3.4 sen sesaham, selaras komitmennya untuk mengekalkan pembayaran dividen yang mampan kepada pemegang saham.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news