LATEST
National

“Kalau ada 225,000 pelarian, setahun hantar 2,000 orang… kita perlu 111 tahun untuk selesai”

“Kalau ada 225,000 pelarian, setahun hantar 2,000 orang… kita perlu 111 tahun untuk selesai”

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memantau secara ketat keputusan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang menghentikan pendaftaran pelarian baharu di Malaysia, yang berkuat kuasa semalam.

Baca juga: Ayda Jebat kongsi suami dijangkiti influenza, hidung berdarah tanpa henti

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia bagi memastikan tiada permohonan terus diproses selepas keputusan itu diumumkan.

Menurutnya, kerajaan juga perlu mendapatkan akses kepada pangkalan data UNHCR bagi mengenal pasti jumlah sebenar pelarian yang sudah berdaftar.

Katanya, tindakan itu sekali gus menjadikannya sebagai rekod asas untuk mengelakkan pertambahan jumlah pelarian secara tidak terkawal.

“Saya ingin tegaskan bahawa apabila kerajaan buat keputusan hentikan permohonan, maka UNHCR wajib menghentikan permohonan… tak ada dah nak proses permohonan lama dan sebagainya.

“Banyak persoalan oleh masyarakat mengenai isu ini, sebab itu saya mohon kerajaan pantau perkara ini untuk memastikan bahawa pendaftaran itu benar dihentikan.

“Itu sebab pentingnya kerajaan untuk mendapat akses kepada pangkalan data berkenaan, kalau tidak tiba-tiba tahun hadapan jumlah pelarian ini meningkat mendadak atas sebab itu dan ini.

“Kerajaan perlu pastikan bahawa jumlahnya habis setakat itu dan kita tahu siapa mereka,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Parlimen, di sini, hari ini.

Radzi turut merujuk kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 30 Oktober lalu berhubung Program Dokumentasi Pelarian (DPP) yang hanya menetapkan individu yang sudah berada di Malaysia sebelum 1 Januari 2023, boleh dipertimbangkan untuk program berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu memberikan isyarat jelas bahawa tiada lagi pendaftaran pelarian baharu dibenarkan selepas tarikh berkenaan, selain memastikan DPP tidak disalahgunakan sindiket bagi mendaftarkan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Sekarang ini, kerajaan perlu hantar isyarat yang jelas, bila UNHCR kata dah hentikan pendaftaran, dan DPP pada 1 Januari 2023 tak ada pendaftaran baharu, maknanya seluruh Malaysia pada hari ini tidak menerima apa-apa permohonan atau sesiapa sebagai pelarian.

“Apa yang perlu dilakukan kini adalah untuk menguruskan apa yang sudah didaftarkan. Sesiapa didaftarkan oleh UNHCR selepas 1 Januari 2023, kita tolak dan nyatakan mereka sebagai pendatang asing tanpa izin.

“Kalau ditangkap hantar balik. Kita perlu bertegas sebab saya lihat kadang-kadang kita ni mengambil pendekatan yang seolah-olah terlalu berlembut.

“Sebab itu saya tegaskan dalam Dewan, tutup sempadan elok-elok, stop this once and for all (hentikan perkara ini secara muktamad),” katanya.

Mengulas jumlah pelarian sedia ada, beliau mendakwa lebih 225,000 individu berdaftar dengan UNHCR berada di Malaysia dan mendesak badan itu mengambil tanggungjawab mempercepatkan penempatan mereka ke negara ketiga atau penghantaran pulang ke negara asal.

Katanya, hanya 974 pelarian dihantar ke negara ketiga dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sekali gus menunjukkan kadar penempatan semula yang masih rendah berbanding jumlah keseluruhan.

“Kalau kita ada 225,000 orang pelarian, katakanlah setahun hantar 2,000 orang, kita perlukan 111 tahun untuk selesaikan mereka.

“Ini tidak masuk akal. Sebab itu saya kata UNHCR selama ini terlalu mengambil mudah kerana Malaysia membuka ruang seolah-olah tidak mengapa untuk mereka masuk,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak seharusnya mengetepikan pilihan penghantaran pulang ke negara asal, selain digesa menggunakan saluran diplomasi menerusi ASEAN dan platform antarabangsa bagi mendapatkan kerjasama negara berkaitan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news