Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata Kabinet tidak pernah membincangkan penyahkelasan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dikaitkan dengan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Zambry, yang juga Ahli Dewan Negara, berkata penyebaran dokumen itu perlu dipandang serius. Menurutnya, dokumen penting kerajaan hanya wajar dinyahklasifikasikan apabila kerajaan sendiri membuat keputusan berkenaan.
Baca juga: Pengesahan Dua Langkah WhatsApp: Cara Aktif Dalam 2 Minit
“Ini tidak seharusnya berlaku melainkan kalau sekiranya pihak kerajaan telah memendeklasifikasikannya. Dalam konteks kabinet, kita tidak pernah membincang perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Ministerial Forum on Education: From National Idea to National Action di Festival Idea Putrajaya 2026 pada Khamis.
Zambry turut menggesa supaya tindakan diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab dalam penyahkelasan dokumen penting kerajaan.

“Perlu diberikan perhatian serius supaya diambil tindakan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab dengan nyahklasifikasi dokumen-dokumen penting. Kita jangan ambil mudah. Ini bukan berkaitan dengan soal lembaga pengampunan ini,” ujarnya.
Zambry berkata kebimbangannya melangkaui isu Lembaga Pengampunan. Menurutnya, jika perkara itu dibiarkan, dokumen kerajaan lain yang mengandungi maklumat sensitif juga berisiko didedahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai isu yang boleh membawa kesan serius kepada negara dan perlu diberi perhatian bersama.
“Kalau ini kita biarkan apa akan berlaku kepada dokumen-dokumen kerajaan yang bertanda X, fail yang bertanda X boleh dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dengan melibatkan informasi-informasi yang mudah.
“Apa akan jadi kepada negara kita? Jadi kita kena fikir, lihat bersama-sama ini. Ini bukan soal politik,” tambahnya lagi.