ISKANDAR PUTERI: Usaha pengamal media di negeri ini yang sentiasa membantu melaporkan inisiatif atau agenda pembangunan negeri terus dihargai.
Baca juga: Kes culik: Permohonan 3 lelaki Korea Selatan untuk diikat jamin ditolak
Penghargaan kerajaan negeri itu melalui lanjutan inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) bagi pengamal media.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata BKJ buat pengamal media yang juga tekad ke-25 di bawah teras ketiga, jaringan keselamatan sosial dalam Belanjawan Johor 2027 diteruskan bagi tahun kedua dengan jumlah bantuan RM1,000 seorang.
“BKJ sebanyak RM1,000 seorang bagi pengamal media ini akan memanfaatkan 200 penerima dengan peruntukan RM200,000,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2027, di sini hari ini.
Menurut Onn Hafiz, jumlah RM1,000 itu akan disalurkan kepada pengamal media yang layak secara berfasa iaitu pada Disember ini dan Februari tahun depan.
Sementara itu, Presiden Kelab Media Johor (KMJ), Mohamad Fauzi Ishak, berkata inisiatif meneruskan pemberian BKJ kepada pengamal media itu menjadi bukti keprihatinan dan penghargaan kerajaan negeri terhadap peranan serta sumbangan pengamal media yang sentiasa komited menyampaikan maklumat tepat, sahih dan beretika kepada masyarakat.
Beliau berkata, bantuan itu bukan sahaja memberi manfaat secara langsung kepada pengamal media, malah mencerminkan hubungan baik dan kerjasama erat antara Kerajaan Johor dengan pengamal media.
“KMJ menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Johor, khususnya Menteri Besar atas penerusan inisiatif BKJ kepada pengamal media di negeri ini.
“Kita turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali atas sokongan serta perhatian berterusan terhadap kebajikan dan kepentingan pengamal media di seluruh Johor.
“KMJ akan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri Johor dalam memperkukuh penyampaian maklumat kepada rakyat serta menyokong agenda pembangunan Johor selaras dengan aspirasi Maju Johor,” katanya.
Pada 2025, Johor menjadi negeri pertama yang mengumumkan insentif khas kepada pengamal media yang digariskan dalam pembentangan Belanjawan Johor 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd