LATEST

Kemelut MB Negeri Sembilan perlu diselesaikan segera

Kemelut MB Negeri Sembilan perlu diselesaikan segera

KUALA LUMPUR: Kemelut kedudukan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan perlu diselesaikan segera supaya pentadbiran kerajaan negeri dapat berjalan lancar.

Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa berkata, UMNO Negeri Sembilan mengalu-alukan sekiranya Ismail kekal menerajui kerajaan negeri, namun segala isu berbangkit perlu ditangani.

Baca juga: Keadaan Ali XPDC stabil , perlu sumbangan pembedahan jantung

Katanya, penyelesaian segera juga penting bagi membolehkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan, khususnya untuk membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan.

“Sekiranya beliau dipilih kita juga bersyukur dan berharap beliau dapat menyelesaikan segala isu berkaitan di Negeri Sembilan, khususnya bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat berjalan dengan baik.

“Pada masa sama, perkara ini perlu disegerakan kerana kita perlu mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), khususnya bagi membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan.

“Kita perlu melaksanakannya untuk tahun ini dan sebelum memasuki tahun depan. Jika sehingga Februari masih tidak bersidang, DUN boleh terbubar dengan sendiri,” katanya semasa sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Isam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin berkata, pihaknya masih menunggu keputusan istana selepas UMNO Pusat mengemukakan warkah berhubung perkara itu.

“Saya dapat maklum, surat berkenaan sudah dihantar kepada pihak istana,” katanya.

Beliau berkata, UMNO Negeri Sembilan menghormati sebarang keputusan yang bakal dibuat dan tidak mahu membuat spekulasi mengenai kedudukan Ismail.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ismail atas khidmat dan tanggungjawab yang dilaksanakan sepanjang menerajui pentadbiran negeri.-UTUSAN

The post Kemelut MB Negeri Sembilan perlu diselesaikan segera appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news