LATEST

Karier musnah kerana seketul batu

Karier musnah kerana seketul batu

Quito: Persatuan Bolasepak Ecuador (FEF) menggantung John Michel Perlaza daripada terbabit dalam sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama lapan tahun susulan tindakannya membaling batu hingga mencederakan penjaga garisan, Lenin Giovanni Ojeda.

Baca juga: Pearly-Thinaah kembali temui rentak

Insiden itu berlaku pada minit keenam masa kecederaan ketika perlawanan antara Ciudad de Yantzaza dan Rio Aguarico dalam Kumpulan D kejohanan Ascenso Nacional, iaitu liga divisyen tiga Ecuador, 17 Oktober lalu.

Perlaza yang berada di kawasan pemain simpanan membaling batu sehingga terkena muka Ojeda.

Penjaga garisan itu mengalami kecederaan serius pada bahagian muka hingga memerlukan pembedahan kecemasan dan tempoh pemulihan selama 60 hari.

Pengadil utama perlawanan turut mengambil tindakan menghentikan perlawanan serta-merta.

Semalam, Jawatankuasa Tatatertib FEF memutuskan bahawa Perlaza menyerang pegawai perlawanan dan menggantungnya daripada terbabit dalam aktiviti bola sepak sehingga 19 Oktober 2034.

FEF akan mengesyorkan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) supaya hukuman itu diperluaskan ke seluruh dunia, sekali gus menyaksikan Perlaza berdepan larangan beraksi dalam mana-mana negara sepanjang tempoh lapan tahun akan datang.

Hukuman penggantungan lapan tahun itu adalah keputusan muktamad selepas FEF sebelum ini menggantung Perlaza selama 60 hari bagi menjalankan siasatan terhadap insiden berkenaan.

Sebelum ini, pemain Ciudad de Yantzaza itu turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Ojeda, mengakui tindakannya sebagai “tidak boleh dimaafkan” selain sedia menerima sebarang hukuman daripada pihak berkuasa.

Ciudad de Yantzaza turut dikenakan denda susulan tindakan pemainnya itu serta kegagalan mematuhi tanggungjawab keselamatan di stadium sendiri.

Kelab berkenaan perlu membayar denda AS$2,000 (kira-kira RM8,234), menanggung kos perubatan Ojeda sebanyak RM17,992 dan dilarang menggunakan Stadium Municipal de Yantzaza bagi tiga perlawanan seterusnya sebagai tuan rumah.

Kes berkenaan juga tidak terhad kepada tindakan disiplin sukan semata-mata. Persatuan Pengadil Ecuador sebelum ini memaklumkan bahawa mereka akan memulakan prosiding jenayah terhadap Perlaza.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada kepastian sama ada kes berkenaan sudah diterima secara rasmi oleh pihak berkuasa kehakiman.

Pemain terbabit dan kelabnya masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan kepada FEF.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news