SHAH ALAM – Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menyindir beberapa pemimpin UMNO yang didakwanya semakin ‘cacing kepanasan’ susulan pendedahan fakta berkaitan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.Menurutnya, tindakan segelintir pemimpin parti itu yang menyerang individu yang membangkitkan isu berkenaan menunjukkan mereka lebih berminat mempertikaikan pembawa maklumat berbanding menjawab kandungan dokumen yang telah didedahkan.”Yang menyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan bukan saya. Yang membuat sebarang keputusan dalam lembaga itu juga bukan saya.”Apa yang saya lakukan hanyalah merujuk minit mesyuarat yang telah sah dinyahklasifikasikan dan membentangkan fakta yang terkandung dalam dokumen tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.Sebelum ini, Tony didakwa berkongsi beberapa halaman dokumen menerusi akaun Facebook miliknya, termasuk bahagian yang merekodkan pendirian Peguam Negara berhubung isu berkenaan.Berdasarkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) yang dinyahklasifikasikan, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.Dalam pada itu, bekas pemimpin DAP itu turut menggunakan ungkapan ‘don’t shoot the messenger’ atau ‘jangan menyalahkan penyampai mesej’ sebagai sindiran kepada pihak yang terus mengkritiknya berhubung pendedahan dokumen berkenaan.Tony berkata, fokus sepatutnya diberikan kepada fakta yang terkandung dalam minit mesyuarat tersebut, bukannya kepada individu yang mengemukakan maklumat itu kepada umum.Beliau turut menyifatkan kritikan berterusan pemimpin UMNO terhadap dirinya dan DAP sebagai sesuatu yang semakin membosankan serta tidak menjawab isu pokok yang dibangkitkan.
Tony Pua sindir pemimpin UMNO ‘cacing kepanasan’
Malay News | https://www.malay.news/tony-pua-sindir-pemimpin-umno-cacing-kepanasan/