lokman.khairi@hmetro.com.my
Baca juga: Kaki mudah melecet ketika memakai kasut, ketahui puncanya
Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, diberitahu terdapat cubaan menghantar e-mel berkaitan dokumen sulit milik PETRONAS oleh bekas pengurus syarikat itu kepada dua pegawai kanan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), namun gagal kerana saiz lampirannya yang terlalu besar.
Juruanalisis Kanan Digital Forensik di CyberSecurity Malaysia, Abdul Wafi Abdul Rahman berkata, dapatan itu adalah hasil analisis forensik dijalankannya terhadap pelayan e-mel syarikat itu di Menara Berkembar PETRONAS pada 24 Januari tahun lalu.
Katanya, sistem itu merekodkan cubaan penghantaran e-mel oleh bekas Pengurus Prestasi Unit Perniagaan PETRONAS, Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PETROS, Datuk Janin Girie dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) PETROS, Azha Jalil Abdul Jalil.
“Pemeriksaannya juga mendapati terdapat notifikasi kegagalan penghantaran e-mel berkaitan dokumen terbabit berpunca akibat saiz lampiran yang melebihi had yang ditetapkan sistem.
“Namun, semasa pemeriksaan dijalankan ke atas komputer riba Mohd Khairul Akmal, saya tidak menemui e-mel yang sama dalam peranti itu.
“Berdasarkan dapatan ini, saya berpendapat terdapat kemungkinan e-mel itu sudah dipadam oleh individu yang mempunyai akses kepada komputer riba berkenaan.
“Namun, saya tidak dapat mengenal pasti siapakah individu yang bertanggungjawab memadamnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes Mohd Khairul Akmal yang didakwa cuba mendedahkan dokumen sulit PETRONAS kepada PETROS pada Jun 2024.
Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata, beliau menemui 15 rekod ‘event logs’ yang berkaitan dengan aktiviti Microsoft Outlook pada 8 Jun 2024 yang menunjukkan terdapat penggunaan aplikasi Outlook pada tarikh itu.
“Selain itu, saya juga tidak menemui sebarang petunjuk yang menunjukkan terdapat akses oleh pihak ketiga ke atas komputer riba itu pada tarikh kejadian.
“Oleh yang demikian, saya tidak dapat mengesahkan mana-mana individu lain telah menggunakan peranti itu pada masa yang berkaitan,” katanya.
Abdul Wafi berkata, selain komputer riba, pegawai penyiasat, Asisten Superintendan R Muruges turut menyerahkan barang kes iaitu dua telefon bimbit masing-masing milik tertuduh dan seorang wanita serta pemacu USB untuk diperiksa.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaannya, saksi itu memberitahu, beliau gagal mendapatkan kandungan asal dokumen sulit itu daripada mana-mana barang kes terbabit.
Pada 18 April tahun lalu, Mohd Khairul Akmal, 41, mengaku tidak bersalah atas tuduhan cuba mendedahkan dokumen sulit berkaitan prestasi operasi dan kewangan PETRONAS kepada PETROS, pada Jun 2024.
Tertuduh didakwa cuba melakukan pendedahan maklumat iaitu dokumen bertajuk “Q1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financial” kepada PETROS, iaitu dokumen berkenaan telah diperoleh ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan PETRONAS, di sebuah unit kondominium di Jalan Pinang, di sini, antara 3.19 petang dan 3.21 petang, pada 8 Jun 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara yang boleh sampai setahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Radzuan manakala tertuduh diwakili peguam, Louis Liaw Vern Xien.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid bersambung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd