am@hmetro.com.my
Baca juga: ‘Mana tahu ini pelukan terakhir Abe…’ – Ibu
Ayer Keroh: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh menegaskan tiada lagi pengkhususan jawatan EXCO Kanan dalam barisan pentadbiran baharu kerajaan negeri kerana semua jawatan mempunyai kedudukan dan tanggungjawab yang sama penting.
Beliau berkata, ini kerana jawatan EXCO kanan yang diwujudkan dalam pentadbiran terdahulu adalah berdasarkan keperluan ketika itu, khususnya selepas beliau mengambil alih jawatan Ketua Menteri pada pertengahan penggal pentadbiran.
Katanya, pelantikan jawatan terbabit ketika itu dibuat bagi mengekalkan struktur pentadbiran sedia ada tanpa melakukan rombakan terhadap jawatan yang sudah ditetapkan.
“Sebenarnya, semua EXCO ini adalah EXCO kanan saya. Ketiadaan jawatan EXCO kanan tidak timbul lagi kerana semua mereka yang dilantik ini adalah EXCO kanan,” katanya selepas menghadiri Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia dan Sumpah Simpan Rahsia Ahli EXCO Melaka di Dewan Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Seri Negeri di sini hari ini.
Istiadat disempurnakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.
Jawatan EXCO Kanan sebelum ini disandang Datuk Rais Yasin.
Mengulas pemilihan barisan EXCO baharu, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, beliau sudah membuat pertimbangan sewajarnya sebelum memilih individu yang diyakini mampu melaksanakan amanah dan tanggungjawab diberikan.
Katanya, pembahagian portfolio kali ini juga bertujuan memberikan pendedahan lebih luas kepada setiap EXCO supaya mereka tidak hanya tertumpu kepada satu bidang pentadbiran sepanjang memegang jawatan.
“Bukan soal saya yakin atau tidak, (tetapi) saya sudah memilih mereka dan saya rasa mereka semua boleh melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.
“Semua orang kena merasai tanggungjawab yang berbeza, tidak semestinya kalau dulu seseorang EXCO memegang portfolio tertentu, dia akan terus memegang jawatan sama,”
“Mereka kena belajar semua perkara supaya dapat menjadi pemimpin masa depan yang mengetahui selok-belok pentadbiran kerajaan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ab Rauf memaklumkan mesyuarat EXCO pertama bagi penggal pentadbiran baharu akan diadakan minggu depan.
Ditanya mengenai pelantikan penyelaras pembangunan di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu, beliau berkata, perkara itu akan diputuskan selepas mesyuarat berkenaan.
Sementara itu, mengenai pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang baharu, Ab Rauf berkata, beliau masih mempertimbangkan individu sesuai untuk mengisi jawatan berkenaan.
Katanya, pengumuman mengenai jawatan itu akan dibuat apabila persidangan DUN berlangsung.
Bagaimanapun, beliau mengumumkan pelantikan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub dari Perikatan Nasional (PN) sebagai Timbalan Speaker DUN.
Terdahulu, seramai 10 ADUN mengangkat sumpah sebagai EXCO kerajaan negeri bagi penggal pentadbiran baharu selepas PRN Melaka ke-16, manakala seramai 11 ADUN lagi dilantik sebagai Timbalan EXCO bagi membantu perjalanan pentadbiran EXCO.
© New Straits Times Press (M) Bhd