LATEST
National

Saham khas bukan satu-satunya jaminan dwirangkaian 5G negara

Saham khas bukan satu-satunya jaminan dwirangkaian 5G negara

PETALING JAYA: Kerajaan mempunyai pelbagai mekanisme perundangan dan kawal selia yang kukuh bagi melindungi model dwirangkaian 5G negara, selain bergantung kepada pegangan saham khas dalam Digital Nasional Bhd (DNB).

Naib Presiden Asia firma perisikan teknologi ABI Research, Jake Saunders, berkata walaupun saham khas memberi kuasa kepada Putrajaya menentukan hala tuju DNB, langkah seperti penggubalan undang-undang dan penetapan syarat khusus pada peruntukan spektrum mampu memberi jaminan jangka panjang yang lebih kukuh.

Baca juga: Bantuan Kasih Johor bagi pengamal media diteruskan

“Perkara ini sememangnya kompleks. Perundangan adalah penyelesaian jangka panjang, manakala arahan menteri pula sentiasa bermanfaat untuk menggerak serta menyelaras agensi kerajaan.

“Lebih jauh lagi, penetapan syarat atau peruntukan spektrum boleh dikuatkuasakan dengan lebih ketat dengan menetapkan hak akses atau had pemindahan bagi tempoh masa yang dijamin,” katanya.

Beliau mengulas mengenai masa depan ekosistem telekomunikasi negara susulan proses pemindahan pemilikan DNB kepada CelcomDigi, Maxis dan YTL, di mana kerajaan masih mengekalkan pegangan saham khasnya.

Ketika ini, Malaysia melaksanakan model dwirangkaian borong 5G dengan DNB mengendalikan rangkaian pertama yang dibangunkan oleh Ericsson, manakala U Mobile dipilih menerajui rangkaian kedua dengan sokongan syarikat teknologi China, Huawei dan ZTE.

Menurut Saunders, mengekalkan akses kepada ekosistem teknologi dari China serta ekonomi bersekutu Barat penting bagi mengelakkan negara berdepan pilihan terhad akibat percaturan geopolitik dan penggabungan syarikat pada masa hadapan.

“Sepanjang sejarah, inovasi teknologi sentiasa berkembang pesat dalam pasaran yang terbuka dan pelbagai, namun penggabungan syarikat serta geopolitik lama-kelamaan boleh mengehadkan pilihan yang ada.

“Malaysia sentiasa berada di persimpangan Asia dan dunia. Justeru, amat wajar akses seluas mungkin kepada teknologi seperti cipset, peranti pintar, perkakasan pusat data, rangkaian selular serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) kecerdasan buatan (AI) terus terbuka,” katanya.

Beliau berkata, penawaran dua laluan teknologi itu memastikan DNB dan ekonomi Malaysia secara keseluruhannya mempunyai akses kompetitif terhadap peluang dalam ekosistem teknologi yang lebih luas.

Tukar teknologi bukan mudah

Sementara itu, Saunders menjelaskan walaupun DNB secara teknikalnya boleh menukar sebahagian teknologi rangkaiannya dari semasa ke semasa, penggantian sistem 5G sedia ada bukan sekadar melibatkan penukaran peralatan.

Pada 2021, Ericsson memeterai kontrak selama 10 tahun dengan DNB merangkumi rangkaian hujung-ke-hujung termasuk rangkaian teras, rangkaian akses radio (RAN), sistem pengangkutan, sistem sokongan operasi dan perniagaan serta perkhidmatan terurus.

Katanya, walaupun komponen pada lapisan RAN seperti stesen pangkalan dan antena lebih fleksibel untuk ditukar, proses itu tetap memerlukan perancangan rangkaian tambahan, ujian peralatan, nyahpepijat serta integrasi.

Tambahnya, Ericsson turut menyokong lapisan operasi DNB melalui pusat operasi rangkaian khusus yang mengendalikan aspek pengebilan, gangguan, prestasi rangkaian dan keselamatan.

“Penukaran secara menyeluruh sudah pasti akan melibatkan perbelanjaan modal tambahan, kos integrasi berterusan serta ujian prestasi rangkaian dan nyahpepijat jangka panjang.

“Terdapat juga pertimbangan perundangan dan kewangan yang perlu diambil kira termasuk pembiayaan vendor, pematuhan kepada pencapaian kontrak serta perjanjian sokongan,” katanya sambil menyifatkan perubahan secara beransuran lebih praktikal berbanding penggantian menyeluruh.

Mengulas langkah seterusnya selepas proses pengambilalihan DNB selesai, Saunders berkata syarikat itu perlu terus berinovasi bagi menyokong pembangunan automasi perindustrian dan keupayaan AI negara.

Antara naik taraf masa hadapan yang boleh dilaksanakan termasuk penggunaan radio baharu di stesen pangkalan kawasan bandar bertrafik tinggi, teknologi RedCap bagi menyokong peranti kos rendah dan aplikasi Internet Kebendaan (IoT) industri, serta pengoptimuman spektrum sedia ada untuk meningkatkan kapasiti rangkaian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news