LATEST
National

Pelancong antarabangsa kini boleh bayar guna Visa, DuitNow QR

Pelancong antarabangsa kini boleh bayar guna Visa, DuitNow QR

KUALA LUMPUR: Pelancong antarabangsa kini boleh membuat pembayaran tanpa tunai di seluruh negara dengan menggunakan kad prabayar Visa Merchantrade Money Visit Malaysia yang menyokong transaksi menerusi rangkaian Visa dan DuitNow QR.

Baca juga: Bella Astillah Jawab Teguran Busana Di Nona Gala Awards 2026

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata kemudahan itu membolehkan pelancong berbelanja di pelbagai premis, termasuk perniagaan mikro yang menerima pembayaran DuitNow QR.

Beliau berkata, usaha menarik pelancong ke Malaysia perlu disokong kemudahan pembayaran yang mudah supaya perbelanjaan mereka dapat memberikan manfaat lebih menyeluruh kepada ekonomi tempatan.

“Selain pembayaran menerusi rangkaian Visa dan DuitNow QR, kad itu turut menyokong transaksi tanpa sentuh melalui Google Wallet dan Samsung Wallet serta akses kepada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Visa Plus di seluruh dunia.

“Pelancong antarabangsa boleh mendaftar untuk mendapatkan kad berkenaan sebaik saja tiba di Malaysia, menerusi rangkaian cawangan Merchantrade di seluruh negara, termasuk Pavilion KL, The Gardens Mid Valley Mall dan Imago Mall di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Tourism Malaysia dengan Merchantrade Asia serta pelancaran kad berkenaan, di sini, hari ini.

Kad prabayar itu membolehkan pelancong menukar dana kepada ringgit dan membuat pembayaran di hotel, pusat beli-belah, pasar, gerai jalanan serta premis lain yang menerima Visa atau DuitNow QR.

Pelancong juga boleh menambah nilai kad itu menggunakan kad kredit asing, selain membuat pembayaran tanpa sentuh dengan menggunakan peranti yang menyokong Google Wallet dan Samsung Wallet.

King Sing berkata, kad dan aplikasi Merchantrade Money turut dipromosikan menerusi 29 pejabat Tourism Malaysia di luar negara termasuk London, Dubai, Seoul, Osaka, Sydney dan Jeddah.

Katanya, inisiatif itu bertujuan memastikan manfaat sektor pelancongan dapat dinikmati lebih ramai pengusaha tempatan.

Ia termasuk penjaja, pengusaha kraf, pembuat batik dan perusahaan mikro yang dikendalikan rakyat tempatan.

Beliau berkata, akses kepada DuitNow QR membolehkan perbelanjaan pelancong disalurkan bukan saja kepada hotel atau pusat beli-belah besar, malah juga kepada peniaga kecil di seluruh negara.

“Beginilah cara pelancongan menjadi inklusif dan mampan, serta bagaimana Tahun Melawat Malaysia menjadi Cuti-cuti Malaysia untuk semua, termasuk pelawat asing, kerana ia selaras aspirasi ‘Malaysia… Beautifully Yours’,” katanya.

Sementara itu, pengasas merangkap Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K Veeran, berkata sektor pelancongan adalah pemacu penting pertumbuhan negara.

Katanya, usaha menghubungkan pelawat antarabangsa dengan perniagaan tempatan menjadi antara tumpuan utama syarikat itu.

Beliau berkata, pelancong dari hampir semua negara boleh mendapatkan kad itu, kecuali mereka dari negara yang dikenakan sekatan antarabangsa.

Malah, katanya, rakyat Malaysia juga boleh mendapat dan menggunakan kad itu ketika melancong ke luar negara, melalui rangkaian Visa.

“Pada peringkat awal, kami menyasar untuk mengeluarkan 10,000 kad dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

“Kami akan melihat sambutan yang diterima sebelum menambah jumlah kad mengikut permintaan,” katanya.

Merchantrade mempunyai 96 cawangan di seluruh negara, manakala dompet elektroniknya menawarkan had hingga RM30,000 bagi memenuhi keperluan pelancong yang tinggal lebih lama atau membuat pembelian bernilai tinggi.

Merchantrade Asia turut disenaraikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai pemegang lesen perniagaan perkhidmatan wang, pengeluar wang elektronik bukan bank, dan pemeroleh pedagang berdaftar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news