am@hmetro.com.my
Baca juga: Rakan dedah rahsia wanita bunuh bayi sendiri – Polis
Parit Buntar: Seorang pesawah hampir maut diserang sekumpulan tebuan sehingga mengalami lebih 30 sengatan di kepala dan seluruh badan ketika dalam perjalanan ke sawahnya di Kuala Kurau untuk menabur baja, Jumaat lalu.
Mohd Adnan Aban, 53, berkata, kejadian kira-kira jam 4.35 petang itu berlaku ketika dia menunggang motosikal melalui jalan utama berhampiran untuk ke sawah padinya.
Menurutnya ketika melalui jalan itu secara tiba-tiba sekumpulan serangga menghurung kepalanya yang disangka sekumpulan lalat.
“Selepas mula disengat baru sedar ia adalah tebuan. Saya terjatuh daripada motosikal bersama dua kampit baja yang dibawa namun kumpulan tebuan itu terus menyengat seluruh badan.
“Saya terpaksa terjun ke dalam parit berhampiran dan menyelam untuk menyelamatkan diri, namun sebaik timbul, kumpulan tebuan itu kembali menyerang,” katanya ketika ditemui.
Mohd Adnan berkata dia kemudian menyelam sekali lagi dan timbul di lokasi jauh daripada tempat terjun sebelum mendapatkan bantuan penduduk berhampiran.
“Seorang penduduk menghantar ke Klinik Kesihatan Kuala Kurau dan kemudian saya terus dihantar dengan ambulans ke Hospital Parit Buntar.
“Selepas tiga hari menerima rawatan, saya dibenarkan keluar hospital pada petang Ahad namun perlu menjalani rawatan susulan.
“Rasa sakit tu macam nak hilang nyawa tapi Alhamdulillah saya masih bernyawa. Sejujurnya, saya trauma untuk melalui jalan itu lagi selepas kejadian berkenaan,” katanya yang tidak menyedari kewujudan sarang tebuan berkenaan.
Dia mengesyaki sarang tebuan itu mungkin tersangkut pada kenderaan seperti lori atau kereta yang melalui jalan berkenaan sebelum menyebabkan serangga terbabit keluar dan menyerang.
Katanya, beberapa individu lain turut dipercayai menjadi mangsa serangan tebuan di lokasi sama, termasuk pelajar sekolah yang menggunakan laluan itu setiap hari.
Susulan kejadian itu, rakannya membuat laporan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau hari ini untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd